
Ketika saya menaiki Bosphorus tour dan bot yang saya naiki hampir ke penghujung laluan sebelum berpatah balik, ia mula bergerak perlahan di sepanjang selat, mata saya terus tertumpu pada satu struktur besar di atas bukit. Rumeli Hisarı (Fortress) berdiri megah di hadapan saya, seolah-olah mengawal seluruh laluan air. Tembok panjangnya mengikut bentuk bukit, bersambung dengan tiga menara batu yang kelihatan jelas dari atas bot.
Benteng ini dibina pada tahun 1452 atas arahan Sultan Mehmed II (al-Fatih), sebelum penaklukan Konstantinopel. Pembinaannya mengambil masa yang sangat singkat, hanya beberapa bulan sahaja. Sultan sendiri mengarahkan para jeneralnya mengawasi setiap bahagian supaya ia siap secepat mungkin. Benteng ini dibina betul-betul berhadapan dengan Anadolu Hisarı di seberang selat, seolah-olah menutup laluan air dari kedua-dua belah sisi.
Tujuan utamanya sangat jelas. Sultan mahu menutup laluan bantuan dari Laut Hitam ke Konstantinopel. Mana-mana kapal asing yang cuba menghantar bantuan kepada Byzantium boleh disekat di sini. Dengan dua benteng besar mengapit Bosphorus, laluan perdagangan dan ketenteraan berada sepenuhnya dalam kawalan Uthmaniyah. Secara ringkasnya, Rumeli Fortress ialah kunci strategi yang memastikan penaklukan kota itu berjaya.
Selepas Konstantinopel tumbang pada tahun 1453, benteng ini terus berfungsi sebagai pusat kawalan ketenteraan di Bosphorus. Ia juga digunakan sebagai penjara untuk tawanan politik dan tokoh penting pada zaman awal Uthmaniyah. Kawasan dalam benteng dibahagikan kepada ruang simpanan, barak tentera, dan tempat kawalan meriam.
Apabila Uthmaniyah semakin kuat dan ancaman dari utara berkurang, fungsi benteng ini berubah perlahan-lahan. Ia bukan lagi lokasi ketenteraan utama, tetapi tetap dijaga sebagai simbol kekuatan dan sebagai pos pemerhatian. Meriam besar di benteng ini masih bersedia untuk menembak kapal yang lalu tanpa izin, terutama pada abad ke-16 dan ke-17, ketika ketegangan geopolitik masih wujud di Laut Hitam.
Masuk ke abad yang lebih moden, meriam tidak lagi digunakan, dan Rumeli Fortress menjadi sebahagian daripada landskap bersejarah Istanbul. Pada abad ke-19 dan awal abad ke-20, ia mengalami beberapa kerosakan akibat kebakaran, tetapi kemudian dipulihkan oleh kerajaan Türkiye. Hari ini, ruang dalam benteng sering digunakan untuk acara budaya dan konsert terbuka pada musim panas. Walaupun sudah lama tidak digunakan untuk pertahanan, bentuk asalnya masih jelas dan memberi gambaran tepat tentang fungsinya dahulu.
Rumeli Fortress bukan sekadar tembok dan batu yang disusun rapi. Ia ialah saksi kepada strategi, peperangan, dan kebangkitan sebuah empayar yang membentuk sejarah Istanbul. Dari atas menara, kita boleh membayangkan bagaimana askar-askar Uthmaniyah melihat kapal-kapal kecil di Bosphorus dan menjaga keamanan laluan air yang penting itu.