+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Istanbul Menjadi Rumah Sementara di Tengah Konflik

Pada awal tahun 2022, ketika perang antara Rusia dan Ukraine bermula, saya mengikuti berita seperti semua orang. Peluru berpandu dilancarkan, bandar dibedil, keluarga berpisah di stesen kereta api dan airport. Pada awalnya ia terasa jauh dari kehidupan saya. Namun perlahan demi perlahan, saya mula melihat kesannya di sini, di Istanbul.

Pada waktu itu saya sedang mengikuti kelas bahasa Turki di Kadikoy. Saya menaiki feri di Eminönü, berjalan melalui Bahariye Steet, membeli kopi sebelum kelas, kemudian duduk di dalam bilik kecil bersama pelajar antarabangsa lain yang sama-sama cuba menyebut huruf dan vokal Turki dengan betul. 

Saya perasan majoriti pelajar dari Ukraine dan Russia

Pada mulanya saya tidak benar-benar memikirkan maksud di sebalik situasi itu. Mereka cuma rakan sekelas yang bergelut dengan tatabahasa seperti kami semua. Kami ketawa apabila tersalah sebut, mengeluh tentang imbuhan yang memeningkan, meminta cikgu ulang ayat dengan lebih perlahan.

Namun ketika waktu rehat, apabila perbualan menjadi lebih peribadi, kisah mereka mula terbuka sedikit demi sedikit.

Seorang rakan sekelas dari Ukraine berkongsi bahawa dia meninggalkan bandarnya beberapa hari selepas serangan bermula. Dia hanya membawa satu beg pakaian dan terbang ke Turkiye kerana negara ini antara yang mudah dimasuki ketika itu. 

Seorang rakan dari Rusia pula bercerita bahawa sekatan ekonomi dan suasana politik yang tegang mengganggu kerjanya. Dia memilih untuk meninggalkan St. Petersburg, membawa komputer riba dan bekerja secara jarak jauh (nomad) dari Istanbul.

Apa yang paling menyentuh hati saya ialah hakikat bahawa di dalam kelas kecil di Kadikoy itu, orang dari dua negara yang sedang berperang duduk bersebelahan, berkongsi pen, membantu satu sama lain menyiapkan latihan, dan saling bertanya bagaimana menyebut frasa mudah dalam bahasa Turki.

Di luar kelas, saya mula mendengar lebih banyak bahasa Rusia di kafe, di feri, di ruang kerja bersama. Antalya menjadi destinasi popular untuk digital nomad dari kedua-dua negara, manakala Istanbul pula terasa seperti titik pertemuan. 

Ada rakan sekelas yang berharap dapat pulang tidak lama lagi. Ada juga yang bercakap seolah-olah perpindahan ini mungkin berlarutan bertahun-tahun. Mereka belajar bahasa Turki bukan sekadar hobi, tetapi sebagai alat untuk bertahan. Untuk membeli barangan runci, berbincang dengan tuan rumah, membuka akaun bank, memesan makanan tanpa rasa perlu penterjemah.

Selepas beberapa minggu, persahabatan kami semakin erat. Selepas kelas, kami kadang-kadang duduk di tepi jeti di Kadikoy. Saya masih ingat seorang gadis Ukraine dan seorang gadis dari Rusia berbincang tentang pencuci mulut Turki yang mana lagi sedap.

 Mereka sama sama mengatakan baklava terlalu manis, tetapi tetap menghabiskan satu pinggan bersama. Pada saat itu, mereka bukan wakil negara yang berperang. Mereka cuma dua anak muda yang cuba membina semula kehidupan di kota asing.

Melihat semua ini mengubah cara saya memahami perang. Tajuk berita sering menumpukan strategi dan kuasa. Namun di dalam kelas kecil itu, saya melihat keberanian, penyesuaian dan harapan. Saya melihat bagaimana orang biasa memikul kesedihan secara diam, tetapi tetap hadir ke kelas tepat pada waktunya.

Setiap kali konflik baharu tercetus di dunia, saya teringat kembali suasana di Kadikoy. Saya teringat campuran loghat yang menyebut kata kerja Turki secara serentak. Saya teringat bagaimana Istanbul menjadi tempat berlindung sementara, bukan sahaja secara fizikal tetapi juga secara emosi. Dan saya sedar bahawa di sebalik setiap krisis politik, ada individu yang hanya mahu mencari kestabilan, maruah dan ruang untuk memulakan hidup sekali lagi.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED