+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Hagia Irene: Gereja Pertama Byzantium di Istanbul

Tersembunyi di dalam kawasan luar Istana Topkapi, berdiri sebuah bangunan bersejarah yang sering terlepas pandang oleh pengunjung Istanbul, Hagia Irene. Ramai terus menuju ke Hagia Sophia, sedangkan gereja ini menyimpan kisah yang jauh lebih awal dalam sejarah kota ini.

Hagia Irene dipercayai sebagai gereja pertama yang dibina oleh Byzantium di Constantinople. Namanya dikenali sebagai Aya Irini dalam bahasa Turki dan Hagia Eirene dalam bahasa Yunani, yang membawa maksud “Keamanan Suci”. Nama ini mencerminkan semangat awal Kristian, sebelum gereja-gereja besar menjadi simbol kuasa empayar.

Bangunan asalnya diperbuat daripada kayu. Pada tahun 532, berlaku pemberontakan besar yang dikenali sebagai Pemberontakan Nika. Rakyat bangkit menentang Maharaja Justinianos, dan kekacauan ini menyebabkan banyak bangunan musnah.

Hagia Irene dan Hagia Sophia turut dibakar. Selepas pemberontakan berjaya dipatahkan, Justinianos mengarahkan kedua-dua gereja dibina semula menggunakan bahan yang lebih kukuh.

Satu perkara yang menjadikan Hagia Irene sangat istimewa hari ini ialah ia merupakan satu-satunya gereja Byzantium di Istanbul yang masih mempunyai atrium. Atrium ini ialah ruang terbuka sebelum memasuki gereja, tempat orang berkumpul sebelum masuk ke ruang ibadah. Reka bentuk ini semakin hilang dalam pembinaan gereja selepas itu.

Apabila Sultan Mehmed II menakluki Constantinople pada tahun 1453, Istanbul memasuki era baharu. Pembinaan Istana Topkapi mengubah susun atur kawasan sekitarnya, dan tembok luar istana berdiri di antara Hagia Sophia dan Hagia Irene.

Tidak seperti banyak gereja lain, Hagia Irene tidak ditukar menjadi masjid. Sebaliknya, ia digunakan sebagai tempat simpanan senjata dan peluru tentera Uthmaniyyah.

Apabila senjata-senjata ini sudah tidak lagi digunakan, Hagia Irene diberi peranan baharu sebagai muzium. Bermula tahun 1908, ia digunakan sebagai Muzium Ketenteraan. Oleh kerana bangunan ini tidak diubah suai untuk kegunaan lain selepas penaklukan, struktur asal Byzantiumnya kekal terpelihara.

Hari ini, Hagia Irene digunakan sebagai dewan konsert. Akustiknya yang baik dan suasananya yang tenang menjadikannya lokasi sesuai untuk persembahan muzik klasik. Di tengah-tengah Istanbul yang sentiasa berubah, Hagia Irene berdiri sebagai saksi senyap kepada sejarah panjang kota ini, dari zaman Byzantium, penaklukan, hingga ke hari ini.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED