
Bas saya naiki dari Fatih berhenti betul-betul di hadapan Muzium Maritim Istanbul (Deniz Müzesi) di Beşiktaş. Disebabkan rasa ingin tahu, saya masuk ke dalamnya buat pertama kali. Dari luar kelihatan moden, tetapi sebaik sahaja saya melangkah masuk, suasananya berubah seperti sebuah arkib yang menyimpan impian maritim kerajaan Uthmaniyah.
Ruang dalamnya penuh dengan model kapal, peta lama, alat-alat navigasi, dan perahu diraja yang pernah membawa para sultan merentasi Selat Bosphorus. Setiap sudut mengingatkan saya bahawa empayar ini melihat laut bukan sebagai laluan ke benua jauh, tetapi sebagai benteng yang melindungi wilayah utama mereka.
Saya selalu mulakan lawatan di bahagian ‘galley’ bersejarah yang dipamerkan di dewan utama. Kapal itu panjang dan anggun, kelihatan rapuh tetapi masih kekal sejak beratus tahun. Berdiri di hadapannya membuat saya membayangkan dunia Mediterranean pada abad keenam belas ketika armada Uthmaniyah memenuhi perairan itu.
Muzium ini memberi saya jawapan jelas mengapa empayar ini kekal sebagai kuasa Mediterranean, bukan kuasa lautan terbuka. Reka bentuk kapal yang dipamerkan sesuai untuk laut tenang, bukan untuk ombak besar Lautan Atlantik atau perjalanan jauh mengelilingi Benua Afrika.
Sebelum ini saya ada menulis tentang Barbaros Hayrettin Paşa. Makamnya hanya beberapa minit berjalan dari muzium ini, dan suasana semangat dari zaman beliau seolah masih terasa di sini. Potret pertempuran, peta yang menunjukkan kempen lautnya, dan artifak dari armadanya mengingatkan saya tentang sejauh mana kuasa maritim Uthmaniyah pernah berkembang.
Barbaros pernah menguasai Mediterranean, mempertahankan pantai-pantai penting, dan menaikkan martabat empayar di mata Eropah. Tetapi walaupun dengan segala kejayaannya, Uthmaniyah tetap tidak mampu menjejaki langkah Sepanyol atau Britain yang merentas lautan luas sehingga ke Asia Tenggara.
Di dalam muzium, perbezaan itu sangat jelas. Pamerannya menunjukkan kekuatan, kebijaksanaan, dan kemahiran, tetapi pada masa yang sama memperlihatkan batasan. Empayar ini menumpukan perhatian pada wilayah. Kekayaan mereka datang dari tanah yang subur dan bandar besar yang sudah berada dalam genggaman.
Armada mereka pula dibina untuk angin Mediterranean, bukan ribut lautan besar. Semakin saya berjalan, semakin saya faham bahawa Uthmaniyah bukan tidak mampu. Mereka hanya tidak perlu mengejar tanah seberang lautan ketika Mesir, Anatolia, Balkan, dan Mesopotamia sudah cukup memberi kekayaan kepada empayar.
Sebelum keluar, saya suka berhenti sebentar di bahagian alat navigasi. Ada astrolabe, kompas lama, peta laut, dan catatan pelayaran. Semua ini menunjukkan bahawa Uthmaniyah memang ada ilmu pelayaran dan pelaut yang hebat. Cuma empayar ini tidak memanjangkan ilmu itu menjadi kuasa global.
Muzium ini membuat saya melihat dengan lebih jelas. Ia bukan sahaja tentang kejayaan, tetapi tentang pilihan strategik dalam dunia yang sangat berbeza daripada zaman penjelajahan Atlantik.
Apabila saya melangkah keluar dan menyeberang jalan menuju makam Barbaros Hayrettin Paşa, saya rasa hubungan antara dua tempat ini semakin kuat. Satu adalah dewan senyap yang menyimpan memori maritim. Satu lagi ialah tempat persemadian panglima laut yang pernah menggoncang Mediterranean.
Bersama-sama, kedua-dua tempat menceritakan kisah bahawa Uthmaniyah pernah kuat di laut, tetapi naratif sejarah telah membentuk fokus maritim mereka hanya dalam wilayah yang dekat.