+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Di Antara Benua: Jambatan yang Menyatukan Istanbul

Setiap hari, berjuta-juta penduduk Istanbul menyeberangi jambatan ini, nadi utama yang menghubungkan benua Eropah dan Asia.

Jambatan yang tersergam indah dalam gambar ini ialah Jambatan Bosphorus, atau kini dikenali sebagai 15 July Martyrs Bridge, siap dibina pada tahun 1973. Ia merupakan jambatan pertama yang menghubungkan dua benua di atas Selat Bosphorus, simbol kebanggaan kota Istanbul yang menjadi penghubung antara Timur dan Barat.

Pada waktu siang, jambatan ini dipenuhi deretan kenderaan. Dari bas awam, kereta persendirian, hinggalah lori kecil yang membawa barangan antara benua. Ketika waktu puncak, trafik di sini boleh menjadi sangat sesak, terutama waktu pagi dan petang apabila pekerja dari sebelah Asia menuju ke pejabat di Eropah, dan sebaliknya.

Lampu brek merah yang memanjang di sepanjang jambatan menjadi pemandangan biasa, seolah-olah aliran darah kota yang tidak pernah berhenti.

Namun, Jambatan Bosphorus bukan satu-satunya penghubung antara dua benua. Istanbul kini mempunyai tiga jambatan utama di atas Selat Bosphorus:

1. Jambatan Bosphorus / 15 July Martyrs Bridge (1973) – Jambatan pertama dan paling ikonik, dibina untuk mengurangkan kebergantungan terhadap feri dan memudahkan perjalanan antara Beşiktaş dan Üsküdar.

2. Jambatan Fatih Sultan Mehmet (1988) – Dibina di bahagian utara untuk menampung peningkatan trafik dan memberi laluan alternatif kepada kenderaan berat serta perjalanan luar pusat bandar.

3. Jambatan Yavuz Sultan Selim (2016) – Jambatan ketiga, terletak lebih jauh di utara, direka khas untuk kenderaan komersial dan lori berat, serta menjadi sebahagian daripada lebuh raya baharu yang menghubungkan Eropah ke Asia melalui jaringan antarabangsa.

Ketiga-tiga jambatan ini dibina atas sebab yang sama iaitu menampung pertumbuhan pesat Istanbul yang kini dihuni lebih 16 juta penduduk. Setiap satu mewakili zaman dan keperluan yang berbeza: dari keperluan asas mobiliti pada 1970-an, ke tekanan trafik pada 1980-an, hingga visi infrastruktur moden abad ke-21.

Bila malam tiba, jambatan-jambatan ini berubah wajah. Cahaya lampu LED berwarna-warni menjadikannya pemandangan yang menakjubkan, terutama bila dilihat dari Bebek atau Ortaköy.

Dua kawasan tepi laut ini sangat popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong. Tempat di mana orang ramai datang untuk makan malam, menikmati angin laut, dan melihat jambatan menyala di langit malam Istanbul.

Saya selalu ke Ortaköy selepas jam 10 malam, suasananya sentiasa hidup. Bunyi ombak berirama dengan deruman kapal dan feri yang lalu di bawah jambatan, membawa penumpang dan barangan antara dua benua.

Di tepi jeti, deretan pemancing berdiri sabar, joran mereka terjulur ke dalam air Bosphorus yang berkilau di bawah cahaya malam. Saya akan duduk di bangku berhampiran, menikmati kumpir panas dan secawan çay, sambil memerhati jambatan yang menyala merah di atas langit. 

Masa tu saya baru betul-betul faham kenapa orang selalu cakap Istanbul ni unik. Dua dunia bertemu kat sini. Sebelah tu Eropah, sebelah lagi Asia. Dekat atas jambatan sibuk dengan kereta, bawahnya pula kapal dan feri lalu bersilih ganti. Tapi walaupun ramai orang, suasananya tenang sahaja, terutamanya bila tengok cahaya jambatan memantul atas air Bosphorus.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED