
Petang itu saya baru saja selesai bertemu seorang kawan di Eminönü. Dari situ, saya naik tram T5 menuju ke Balat iaitu sebuah kejiranan lama di tepi Golden Horn. Langit masih cerah, angin sejuk musim luruh meniup lembut, dan bunyi kanak-kanak bermain bola di lorong sempit menyambut kedatangan saya.
Saya singgah di sebuah kafe kecil bernama Cafe Naftalin, pintunya terbuka luas, aroma kopi Turki semerbak memenuhi udara. Kafe ini agak terkenal dalam kalangan pelancong dan anak muda yang suka ambil gambar di ruang vintajnya yang dipenuhi buku, bingkai gambar dan barang antik.
Seekor kucing berwarna jingga melompat ke meja tanpa rasa bersalah, menggeliat manja di sebelah cawan kopi. Saya tak beri apa-apa makanan padanya, hanya mengusap lembut bulunya sambil menikmati secawan Türk kahvesi yang pekat dan pahit.
Lepas itu saya mula berjalan menyusuri lorong-lorong kecil Balat. Rumah-rumah di sini tidak sempurna – catnya sudah pudar, tingkapnya senget, tapi itulah yang membuatkan ia cantik. Warna merah, biru, kuning dan hijau berbaris di sepanjang jalan, seperti deretan nostalgia yang dipamerkan tanpa sengaja.
Di satu selekoh, saya menemui tangga curam Merdivenli Yokuşu, dihiasi bunga dan grafiti kecil yang menambah karakter. Beberapa orang wanita duduk berbual di tangga, di hadapan pintu masuk apartmen mereka, sambil memerhati pelancong lalu-lalang di jalan kecil itu.
Tidak jauh dari situ berdiri The Cathedral of Greek Orthodox Patriarchate, sebuah bangunan besar berwarna merah bata dengan menara tinggi yang kelihatan dari kejauhan. Dari lorong kecil Balat, kubah dan dindingnya yang megah muncul di antara rumah-rumah lama, seolah-olah masih memerhati zaman yang telah berlalu.
Menjelang senja, saya melangkah ke tepi Golden Horn. Airnya berkilau memantulkan cahaya oren dari langit yang perlahan-lahan gelap. Di satu sudut rumput, saya menemui tempat untuk berbaring, satu rutin kecil yang selalu saya lakukan setiap kali ke Balat.
Di sekeliling, beberapa keluarga sedang berkelah, anak-anak berlari dengan tawa yang ringan, dan seorang lelaki menolak troli menjual snek, biji bunga matahari, dan minuman sejuk.
Sebelum balik, saya singgah makan malam dekat Burgermoon – tempat makan wajib setiap kali datang ke Balat. Moon Burger dia memang antara yang paling sedap di Istanbul; roti lembut, daging berjus,dan sos pun meleleh. Tuan kedai pun dah kenal, setiap kali nampak je mesti senyum dan bagi extra fries tanpa diminta. Kedai kecil tu rasa macam port lepak sendiri lepas seharian jalan.
Balat bukan tempat yang sibuk, bukan juga tempat yang sempurna, tapi ia tempat yang tahu cara bercerita. Di sinilah masa bergerak perlahan, memberi ruang kepada kita untuk melihat, mendengar, dan merasa.