+60198815190  
 akudianatolia@gmail.com
Home > Turkiye Moden > Seni & Budaya

Lahmacun: Pizza Turki yang Nipis dan Rangup

Kalau anda berjalan-jalan di Istanbul, antara makanan yang mudah ditemui di kedai makan tempatan ialah lahmacun. Hidangan ini kelihatan ringkas, hanya sekeping doh nipis yang dibakar bersama campuran daging cincang dan rempah. Namun, di sebalik rupanya yang sederhana, lahmacun merupakan antara makanan yang cukup popular dalam kehidupan seharian orang Turki.

Lahmacun dibuat daripada doh yang diuli sehingga nipis, kemudian disapu dengan campuran daging cincang (kıyma), tomato, lada, bawang dan pelbagai rempah. Selepas itu, doh dibakar dalam ketuhar bersuhu tinggi sehingga masak.

Hasilnya ialah sekeping roti yang nipis, dengan bahagian tepi yang sedikit rangup dan lapisan daging yang melekat pada permukaannya. Bau daging yang bercampur dengan rempah ketika lahmacun baru keluar dari ketuhar memang cukup menyelerakan.

Salah satu perkara menarik tentang lahmacun ialah cara orang Turki menikmatinya. Hidangan ini biasanya disajikan bersama pasli segar, hirisan bawang, lemon dan kadangkala sayur-sayuran lain. Ada juga yang menambah sedikit pul biber, iaitu serbuk cili yang biasa digunakan dalam masakan Turki.

Cara makannya mudah sahaja. Perahkan sedikit jus lemon di atas lahmacun, letakkan pasli dan hirisan bawang, kemudian gulungkan sebelum dimakan. Gabungan rasa daging yang berempah, masam daripada lemon dan kesegaran sayur-sayuran menjadikan setiap gigitan lebih seimbang.

Bagi mereka yang baru pertama kali mencubanya, saya mencadangkan supaya menikmati lahmacun dengan cara tradisional ini. Anda akan dapat merasai bagaimana bahan-bahan yang kelihatan biasa boleh menghasilkan hidangan yang begitu sedap apabila digabungkan dengan betul.

Lahmacun juga sering dianggap sebagai makanan yang sesuai untuk mereka yang mahu makan dengan cepat tanpa perlu mengeluarkan belanja yang terlalu besar. Di banyak kedai makan tempatan, pelanggan boleh memesan beberapa keping lahmacun untuk dinikmati sebagai hidangan tengah hari atau makan malam. Ada yang memakannya bersama ayran, minuman berasaskan yogurt yang sedikit masin dan menyegarkan.

Bagi saya, antara tempat yang menawarkan lahmacun terbaik di Istanbul ialah Öz Kilis Kebap ve Lahmacun Salonu di Fatih, Mahir Lokantası di Osmanbey, Çığır Lahmacun di Aksaray dan Borsam Taşfırın di Kadıköy. Setiap tempat mempunyai keistimewaan tersendiri, tetapi semuanya wajar dipertimbangkan jika anda mahu mengenali rasa lahmacun yang digemari masyarakat tempatan.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Simit: Roti Bijan Kegemaran Orang Turki

Jika anda berjalan-jalan di sekitar Istanbul, salah satu makanan yang paling mudah ditemui ialah simit, sejenis roti berbentuk gelang yang disaluti bijan. Roti ini dijual di atas troli merah di…
Read more

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED