+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Hürrem Sultan: Permulaan Era Kesultanan Wanita Uthmaniyyah

Di dalam sejarah empayar Uthmaniyyah, kebangkitan Hürrem Sultan menjadi antara titik perubahan paling besar dalam struktur istana. Dilahirkan jauh dari Istanbul dan dibawa masuk ke dalam harem sebagai hamba, sedikit pun tidak menunjukkan bahawa dirinya suatu hari nanti akan menjadi wanita paling berpengaruh di dalam empayar tersebut.

Pada zaman awal Uthmaniyyah, para gundik biasanya hanya mempunyai hubungan peribadi dengan sultan dan jarang terlibat dalam urusan politik. Tradisi istana juga tidak menggalakkan sultan berkahwin secara rasmi dengan wanita di dalam harem. Namun hubungan antara Sultan Suleiman I (Suleiman the Magnificent) dan Hürrem Sultan mula mengubah tradisi yang telah lama wujud itu.

Hürrem bukan sekadar seorang pendamping istana. Beliau berjaya membina kedudukan yang sangat rapat dengan Sultan Suleiman I sehingga akhirnya dikahwini secara rasmi, sesuatu yang jarang berlaku dalam sejarah diraja Uthmaniyyah. Perkahwinan ini mengejutkan ramai pihak kerana ia memecahkan tradisi lama yang selama berabad-abad memisahkan urusan politik empayar daripada wanita harem.

Pada masa yang sama, para putera Uthmaniyyah mula kurang dihantar keluar mentadbir wilayah seperti dahulu. Kehidupan politik semakin tertumpu di Istanbul, dan harem perlahan-lahan berubah menjadi pusat rangkaian kuasa di dalam istana.

Hürrem Sultan juga terkenal kerana aktif membina masjid, dapur awam, rumah kebajikan dan kompleks sosial di pelbagai wilayah empayar. Pengaruhnya tidak lagi terhad di dalam harem, tetapi mula dirasai oleh masyarakat Uthmaniyyah sendiri. Dalam masa yang sama, namanya semakin kerap muncul dalam surat diplomat Eropah yang melihat beliau sebagai antara individu paling berkuasa di Istanbul.

Di sebalik pengaruhnya yang semakin besar, kebangkitan Hürrem Sultan turut dikaitkan dengan persaingan sengit di dalam keluarga diraja Uthmaniyyah, khususnya melibatkan Mahidevran Sultan dan puteranya Şehzade Mustafa.

Apabila Mustafa dihukum mati atas arahan Sultan Suleiman I, ramai melihat peristiwa itu sebagai antara titik paling penting dalam perubahan politik pewarisan takhta Uthmaniyyah. Sejak itu, perebutan kuasa di dalam istana semakin rapat dikaitkan dengan pengaruh harem dan keluarga diraja.

Selepas zaman Hürrem Sultan, pengaruh wanita di dalam istana bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Ia menjadi sebahagian daripada sistem politik Uthmaniyyah sendiri, membuka jalan kepada era yang kemudian dikenali sebagai ‘Sultanate of Women‘.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED