
Di sepanjang bulan Ramadan, pengunjung yang melawat Muzium Istana Topkapı kini boleh melihat sebuah mushaf yang sangat luar biasa dari zaman Uthmaniyyah. Ia dipamerkan di ruang Şadırvanlı Sofa, dekat Mukaddes Emanetler (Sacred Relics).
Saiznya yang besar dan kehalusan seninya benar-benar memukau. Apabila berdiri di hadapannya, kita dapat rasa bagaimana seni dan ibadah disatukan dalam satu karya yang sangat cantik.
Mushaf ini mula ditulis pada separuh kedua abad ke-16 oleh tokoh kaligrafi terkenal Ahmed Karahisari atas permintaan Sultan Suleiman I (Suleiman the Magnificent). Dalam sepuluh tahun terakhir hidupnya, beliau berjaya menyiapkan 440 halaman.
Selepas beliau meninggal dunia, murid dan anak angkatnya Hasan Çelebi menyambung kerja ini dan menyiapkannya ketika pemerintahan Sultan Murad III antara tahun 1584 – 1587.
Kisah di sebalik mushaf ini juga menceritakan dedikasi seorang guru dan murid. Karahisari dikenali dengan gaya tulisan yang berani dan teliti, hasil latihan bertahun-tahun dalam tradisi khat Uthmaniyyah. Apabila beliau tidak sempat menyiapkan keseluruhan mushaf, Hasan Çelebi meneruskan amanah tersebut dengan penuh hormat terhadap gaya gurunya.
Mushaf ini mempunyai 601 halaman dengan ukuran kira kira 61.5 x 44 cm, menjadikannya al-Quran terbesar yang pernah dihasilkan pada zaman Uthmaniyyah.
Walaupun saiznya yang besar sudah cukup mengagumkan, keindahan sebenar terletak pada tulisan, hiasan, dan cara ia dijilid. Setiap halaman dihias dengan teliti, tulisan yang seimbang dan juga corak emas yang halus.
Para pengkaji menganggap mushaf ini sebagai al-Quran zaman Uthmaniyyah paling terkenal yang masih wujud hingga hari ini. Ia menjadi contoh indah seni Islam tradisional. Kini ia dipelihara dengan rapi dan dipamerkan supaya orang ramai dapat melihat sendiri bagaimana pengabdian ratusan tahun lalu masih terasa hidup sampai sekarang.