+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Permulaan Era ‘Kesultanan Wanita’ Dalam Empayar Uthmaniyyah

Di bawah pemerintahan Sultan Suleiman I (Suleiman the Magnificent), Empayar Uthmaniyyah mencapai kemuncak kekuatan politik, ketenteraan dan kebudayaan.

Tentera mereka bergerak jauh ke Eropah, armada mereka menguasai Mediterranean, sementara Istanbul berkembang menjadi antara kota terpenting di dunia Islam. Namun di sebalik kegemilangan itu, perlahan-lahan muncul satu perubahan besar di dalam istana yang akhirnya mengubah struktur kuasa empayar tersebut.

Pada zaman awal Uthmaniyyah, para sultan bukan sekadar pemerintah di atas takhta. Mereka sendiri mengetuai tentera di medan perang dan menghabiskan sebahagian besar kehidupan di luar istana.

Dari Balkan sehingga Anatolia, sultan bergerak bersama kem tentera, memimpin penaklukan dan mengawasi wilayah secara langsung. Kuasa politik tertumpu kepada sultan, wazir dan golongan tentera.

Ketika itu, wanita di dalam harem memang mempunyai pengaruh peribadi terhadap sultan, tetapi jarang sekali memainkan peranan politik secara terbuka. Tradisi Uthmaniyyah juga berbeza daripada kerajaan Eropah kerana sultan biasanya tidak berkahwin secara rasmi dengan gundik mereka. Apabila seorang putera dihantar mentadbir wilayah sebagai latihan menjadi pemerintah, ibunya akan meninggalkan istana dan mengikuti anaknya ke wilayah tersebut.

Sistem ini secara tidak langsung menghalang wanita istana daripada membina pengaruh politik yang terlalu besar di pusat pemerintahan. Setiap ibu putera tertumpu kepada masa depan anaknya sendiri di wilayah masing-masing, sementara kehidupan politik di Istanbul terus dikawal oleh sultan dan para pembesar lelaki.

Namun keadaan mula berubah pada abad ke-16. Sultan semakin lama menetap di dalam istana, para putera tidak lagi dihantar keluar mentadbir wilayah seperti dahulu, dan harem mula berubah menjadi pusat rangkaian politik yang sangat berpengaruh.

Dari sinilah muncul satu era yang kemudian dikenali oleh para sejarawan sebagai ‘Sultanate of Women‘ atau ‘Kesultanan Wanita’, apabila ibu dan isteri sultan mula memainkan peranan besar dalam menentukan arah Empayar Uthmaniyyah.

Dalam siri akan datang, kita akan melihat bagaimana wanita-wanita di dalam istana Uthmaniyyah perlahan-lahan muncul sebagai antara tokoh paling berpengaruh dalam menentukan arah politik dan masa depan empayar tersebut.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED