+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Çırağan Palace: Dari Istana Diraja ke Hotel Termewah Istanbul

Setiap kali saya menaiki tram dari Sultanahmet ke Kabataş, dan sambung perjalanan ke arah Beşiktaş menggunakan bas, saya suka duduk di sebelah tingkap – memerhati laut yang berkilau di bawah cahaya matahari Istanbul. Angin Bosphorus yang sejuk menyapa wajah, sambil bunyi hon kapal dan burung camar bersahutan di udara.

Sepanjang jalan dari Kabataş ke Beşiktaş, pemandangan di sebelah kanan bagaikan galeri terbuka sejarah empayar Uthmaniyah. Bangunan pertama yang mencuri pandangan tentu sekali Dolmabahçe Palace, istana megah dengan pagar putih berukir, taman luas dan gerbang tinggi yang menghadap laut. Dulu, di sinilah Sultan terakhir bersemayam sebelum empayar Uthmaniyah berakhir.

Dan tidak jauh dari situ, berdiri megah di tepi air, muncullah Çırağan Palace Kempinski, iaitu hotel paling mewah di seluruh Istanbul, dan mungkin antara yang paling indah di dunia.

Istana ini sebenarnya mempunyai sejarah yang lebih lama. Tapaknya sudah digunakan sejak abad ke-17 lagi sebagai kediaman tepi laut bagi bangsawan Uthmaniyah. Namun, bentuk istana yang kita lihat hari ini dibina semula sepenuhnya dan disiapkan pada tahun 1871 oleh Sultan Abdülaziz. Baginda terkenal sebagai pemerintah yang meminati seni bina dan kemewahan Eropah.

Ketika melawat Paris dan London, Sultan Abdülaziz terinspirasi dengan gaya istana Barat, lalu mahu membina sebuah istana baharu di Istanbul yang menggambarkan gabungan kekuatan empayar Uthmaniyah dan cita rasa moden Eropah.

Hasilnya ialah Çırağan Palace – sebuah mahakarya yang menggabungkan kehalusan Timur dan keanggunan Barat dalam satu bangunan marmar putih di tepi Bosphorus.

Dari luar, istana ini bukan sekadar hotel. Ia sebuah peninggalan sejarah, dibina untuk keluarga diraja dan tetamu kehormat empayar. Kini, ia diubah menjadi hotel bertaraf dunia tanpa menghilangkan sedikit pun keanggunan asalnya.

Kalau kita menaiki bot untuk Bosphorus Tour, kita pasti akan nampak Çırağan Palace dari tengah laut. Saat matahari mula terbenam dan langit bertukar jingga, istana ini kelihatan seolah-olah terapung di atas air. Ramai pelancong tak akan lepaskan peluang untuk menangkap gambar.

Kalau kita ingin merasai bagaimana rasanya ‘hidup seperti raja’, harga bilik di sini bermula sekitar RM 4000+ semalam, dan boleh mencecah berbelas ribu ringgit untuk bilik dengan pemandangan penuh Bosphorus. Manakala suite ‘Sultan’ pula… dikatakan antara yang termahal di dunia boleh mencecah puluhan ribu ringgit semalam.

Tapi walaupun kita tak menginap, boleh datang saja untuk minum kopi di restorannya yang menghadap laut. Duduk di balkoni, nikmati angin Bosphorus, dan tengok kapal lalu di bawah langit Istanbul. Satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED