+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Anak Muda Turki dan Fenomena ‘Nak Pergi’

Malam tu saya duduk minum çay dengan seorang kawan Turki di satu kafe di Edirnekapı, bersebelahan Walls of Constantinople. Sambil sembang pasal isu-isu semasa, dia tiba-tiba senyap dan cakap perlahan,

“Entah kenapa, aku rasa dah tak tenang lagi tinggal kat sini.”

Ayat tu nampak biasa tapi sebenarnya berat. Sebab ramai anak muda Turki sekarang rasa benda yang sama.

Inilah yang ditulis dalam buku “Bu Ülkeden Gitmek” (Kalau diterjemah maksudnya ‘Pergi Dari Negara Ini’) oleh Gözde Kazaz. Buku ni tak cerita pasal pelarian perang atau orang susah semata-mata, tapi pasal mereka yang berpendidikan, ada kerja, tapi rasa kosong dan penat hidup di negara sendiri.

Penulis buku tersebut cerita tentang golongan muda yang bukan lari sebab perang atau lapar, tapi sebab hilang keyakinan dengan sistem. Dulu mereka percaya kalau belajar rajin-rajin, kerja elok-elok, masa depan akan terjamin. Tapi realitinya lain. Ekonomi tak stabil, peluang kerja sempit, suara rakyat makin sempit juga.

Ada yang kata, “Aku tak rasa ada masalah apa-apa pun, tapi setiap hari rasa macam hidup atas ais yang semakin menipis.”

Itulah yang penulis panggil “huzursuz yurttaş” – warga yang resah, tak ada ancaman langsung, tapi tetap rasa tak selamat untuk berimpian.

Sekarang ramai orang Turki tak semestinya terus pindah, tapi dalam kepala sentiasa ada satu bayangan: “Kalau aku pindah, hidup aku mungkin lebih tenang.” Bukan semua nak kaya, ramai cuma nak rasa tenang, selamat, dan dihargai.

Penulis kata, ni bukan sekadar soal ekonomi. Ia tentang hilangnya rasa ‘ini rumah aku.’ Bila nilai, budaya dan kepercayaan kita makin terhakis, orang mula rasa ‘aku dah tak kenal tempat ni.’ Dan bila rasa tu datang, walaupun jasad masih di tanah air, hati sebenarnya dah pun separuh pergi.

Sebahagian besar anak muda Turki yang keluar memilih negara-negara Eropah seperti Jerman, Belanda, dan United Kingdom. Ada juga yang ke Kanada atau Australia, tempat yang lebih terbuka untuk migran berkemahiran tinggi.

Menariknya, bukan semua pergi untuk kerja semata-mata. Ada yang cuma nak hidup di tempat di mana hukum dan peluang lebih adil, di mana mereka tak perlu kenal ‘orang dalam’ untuk berjaya. Bagi mereka, pergi bukan semata soal tempat, tapi cara baru untuk bernafas.

Bila saya baca buku ni, saya terfikir adakah anak muda Malaysia pun rasa benda yang sama? Kita mungkin belum sampai tahap nak ‘lari dari negara sendiri,’ tapi ramai juga yang mula rasa sesak dengan tekanan hidup, harga rumah, politik lapuk, dan sistem yang lambat berubah.

Ramai yang masih bertahan, sebab di sini masih ada ruang, tapi kalau ruang tu makin sempit, siapa tahu, mungkin kita pun akan mula tanya diri sendiri:

“Kalau aku tinggal, apa yang aku pertahankan?”

“Kalau aku pergi, apa yang aku tinggalkan?”

Kadang-kadang, ‘pergi’ tu bukan tentang berpindah ke negara lain pun, tapi sekadar keinginan untuk mencari tempat yang bagi kita rasa hidup semula. Dan mungkin itu jugalah yang sedang dicari oleh ramai anak muda, bukan saja di Turkiye… tapi juga di mana-mana.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED