
Setiap tahun, sebahagian kecil komuniti di Türkiye menyambut Nowruz sebagai permulaan tahun baharu, bertepatan dengan kedatangan musim bunga. Ia sering dilihat sebagai perayaan budaya, penuh dengan simbol pembaharuan dan keseimbangan alam.
Namun di sebalik sambutan ini, terdapat akar kepercayaan yang jauh lebih tua, iaitu Zoroastrianism (Majusi), agama yang pernah menjadi asas kepada Empayar Parsi.
Agama ini diasaskan oleh Zoroaster dan berpusat kepada satu idea utama: pertembungan antara kebenaran dan kepalsuan. Tuhan tertinggi mereka, Ahura Mazda, melambangkan kebijaksanaan dan ketertiban, manakala manusia dilihat mempunyai peranan dalam memilih antara dua jalan tersebut (dualisme).
Dalam amalan mereka, api digunakan sebagai simbol cahaya dan kebenaran. Altar api menjadi tempat utama untuk ritual, kerana mereka percaya cahaya melambangkan kebenaran dan susunan alam. Idea ini juga berkait dengan Nowruz, di mana perubahan musim dilihat sebagai permulaan baharu dan tanda bahawa kebaikan akan terus mengatasi kejahatan.
Apabila empayar Parsi menguasai Anatolia Barat, kepercayaan ini turut dibawa bersama oleh golongan pentadbir dan tentera. Namun di bandar-bandar Ionia seperti Ephesus, masyarakat tempatan terus mengamalkan kepercayaan pagan mereka.
Kuil-kuil besar, patung-patung dewa, dan ritual terbuka kekal sebagai pusat kehidupan, berbeza dengan Zoroastrianisme yang tidak bergantung pada struktur atau patung tertentu.
Keadaan ini mewujudkan suasana keagamaan yang berbeza. Di satu pihak, masyarakat Yunani dengan banyak dewa dan ritual yang jelas kelihatan. Di pihak lain, kepercayaan Parsi yang lebih sederhana, hadir melalui simbol, nilai, dan cara pentadbiran.
Salah satu sebab mengapa kita jarang menemui tinggalan bangunan berkaitan Zoroastrianism di Anatolia ialah kerana agama ini tidak bergantung kepada kuil besar atau binaan besar seperti agama paganisme.
Amalan mereka lebih tertumpu kepada altar api yang ringkas dan ruang terbuka, yang mudah hilang ditelan masa. Selain itu, pendekatan empayar Parsi yang membenarkan kepercayaan tempatan terus diamalkan juga bermakna mereka tidak membina banyak struktur keagamaan sendiri di bandar-bandar seperti Ephesus.