+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Secawan Kopi di Nişantaşı: Tempat Lahirnya Orhan Pamuk

Keluar dari rumah, saya naik metro di Aksaray dan turun di Osmanbey, kemudian berjalan sedikit menaiki bukit sebelum sampai di Spada Coffee & Roastery. Bau kopi yang baru dipanggang memenuhi ruang udara, bercampur dengan angin musim luruh yang lembut.

Di dalam, muzik jazz perlahan bermain, dan barista menyambut saya dengan senyuman tenang. Saya pesan flat white dan duduk di tepi tingkap, memerhati orang-orang Istanbul berjalan dengan pakaian musim luruh yang cantik dan bergaya.

Inilah Nişantaşı, antara kawasan paling elegan di Istanbul. Penuh dengan butik mewah, galeri seni, dan bangunan lama yang masih menyimpan cerita masa lalu. Di sinilah Orhan Pamuk, penulis Turki yang memenangi Hadiah Nobel, dilahirkan dan dibesarkan.

Dalam banyak novelnya, Nişantaşı mewakili wajah moden Istanbul. Bahagian kota yang lebih terpengaruh dengan gaya Barat, berbeza dengan kawasan tradisional seperti Fatih atau Üsküdar.

Dalam novel The Museum of Innocence, Pamuk menggambarkan watak-watak yang hidup antara dua dunia, terperangkap antara cita rasa Eropah dan akar budaya Turki. Sambil menikmati kopi, saya dapat rasa perasaan itu, satu ketegangan halus yang masih hidup di udara Nişantaşı.

Pamuk pernah menulis bahawa Istanbul hidup “dalam bayang-bayang masa silamnya.” Di Nişantaşı, bayang itu hadir melalui bangunan apartmen lama dengan balkoni besi dan pintu kayu klasik.

Banyak yang dibina sejak zaman akhir Uthmaniyyah, ketika pengaruh Eropah mula masuk ke Turki. Hari ini, bangunan sama menempatkan butik fesyen, kedai buku, dan kafe. Denyutan kehidupan moden masih bergetar dalam dinding berusia seratus tahun itu.

Di sebalik jalan yang bersih dan butik moden, Nişantaşı sebenarnya menggambarkan pertembungan lembut antara tradisi Islam dan pengaruh Barat. Suara azan masih kedengaran dari masjid berhampiran, berselang dengan bunyi lalu lintas dan perbualan di kafe.

Wanita berfesyen moden berjalan seiring dengan wanita berhijab, berkongsi jalan yang sama, irama hidup yang sama. Ia bukan pertentangan, ia keseimbangan. Seperti yang Pamuk tulis, inilah wajah sebenar Istanbul: kota yang belajar untuk memegang iman dan kebebasan, warisan dan kemajuan dalam satu nafas yang sama.

Sambil menghabiskan kopi, saya teringat konsep hüzün yang selalu disebut Orhan Pamuk. Satu bentuk kesedihan lembut yang menjadi jiwa Istanbul. Ia bukan duka, tapi kesedaran tentang masa yang berlalu, tentang keindahan yang perlahan-lahan pudar.

Walaupun di kawasan moden seperti ini, perasaan itu tetap wujud. Di sebalik cahaya lampu butik dan aroma kopi, ada gema masa lalu yang halus, seolah-olah setiap sudut kota ini menyimpan kenangan yang enggan dilupakan.

Mungkin sebab itu saya suka menulis tentang Istanbul. Setiap lawatan, setiap jalan, setiap cawan kopi terasa seperti membuka halaman baru dalam novel yang belum selesai.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED