+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Neve Shalom Synagogue: Warisan Komuniti Yahudi di Galata

Di tengah kawasan Şişhane yang sibuk, beberapa langkah dari Galata Tower, terdapat sebuah bangunan yang kelihatan sederhana dari luar tetapi menyimpan sejarah panjang komuniti Yahudi di kota ini. Bangunan itu ialah Neve Shalom Synagogue yang terletak di Büyük Hendek Street.

Ketika berjalan menuju ke menara Galata, mudah untuk terlepas pandang bangunan ini. Dari luar ia kelihatan seperti bangunan biasa, namun di sebalik dindingnya, ia menjadi pusat penting kehidupan Yahudi di Istanbul selama beberapa generasi.

Kawasan di sekitar Galata dan Pera sudah lama menjadi tempat pertemuan pelbagai komuniti. Dalam artikel saya tentang Pera sebelum ini, saya menyebut bagaimana kawasan ini menjadi pintu perdagangan antara Timur dan Barat. Ramai pedagang asing menetap di sini. Antara yang paling menonjol ialah komuniti Yahudi, yang memainkan peranan penting dalam perdagangan, kewangan, dan jaringan perbankan.

Sejak zaman awal Empayar Uthmaniyyah, Galata menjadi kawasan kosmopolitan. Pedagang Genoa, Yunani, Armenia, dan Yahudi menjalankan perniagaan di pelabuhan dan gudang di sepanjang Golden Horn. Komuniti Yahudi khususnya terkenal sebagai pedagang antarabangsa yang mahir. Mereka mempunyai jaringan keluarga dan perdagangan yang merentasi Mediterranean, dari Istanbul hingga ke Venice, Salonika, dan Afrika Utara.

Hubungan antara kerajaan Uthmaniyyah dan komuniti Yahudi sebenarnya bermula lebih awal. Selepas penaklukan Konstantinopel oleh Sultan Mehmed II (al-Fatih) pada tahun 1453, baginda mahu menghidupkan kembali kota yang hampir kosong selepas peperangan panjang.

Baginda menggalakkan pelbagai komuniti berpindah ke ibu kota baharu empayar. Orang Yahudi dari Anatolia dan Balkan turut dipelawa menetap di sini dan diberi ruang untuk membina kehidupan baru.

Beberapa dekad kemudian, satu peristiwa besar di Eropah membawa gelombang migrasi yang mengubah demografi Yahudi di empayar ini. Pada tahun 1492, beribu-ribu Yahudi diusir dari Sepanyol akibat Spanish Inquisition.

Sultan Uthmaniyyah ketika itu, Sultan Bayezid II, membuka pintu empayarnya kepada pelarian tersebut. Ramai daripada mereka menetap di kota pelabuhan penting seperti Salonika dan Istanbul.

Menariknya, pemerintah Uthmaniyyah lebih mempercayai komuniti Yahudi berbanding beberapa komuniti Kristian tempatan. Ini kerana komuniti Kristian di empayar sering mempunyai hubungan politik dengan kuasa Eropah seperti Venice, Austria, atau Rusia.

Hubungan ini kadang-kadang membawa ketegangan politik. Komuniti Yahudi pula tidak mempunyai kerajaan sendiri di Eropah yang boleh mencampuri urusan empayar. Oleh itu mereka sering dilihat sebagai rakan dagang yang lebih neutral dan setia kepada pemerintah.

Atas sebab itu juga ramai pedagang Yahudi berkembang dalam sektor kewangan dan perdagangan antarabangsa. Mereka membantu menghubungkan ekonomi Uthmaniyyah dengan pasaran Mediterranean. Kawasan Galata dan Pera akhirnya menjadi salah satu pusat ekonomi paling penting di Istanbul, dan komuniti Yahudi memainkan peranan besar dalam perkembangan itu.

Hari ini, apabila saya berjalan di sekitar Galata dan melalui Büyük Hendek Street, sukar membayangkan betapa sibuknya kawasan ini beberapa abad lalu dengan pedagang dari pelbagai bangsa.

Namun bangunan seperti Neve Shalom Synagogue mengingatkan bahawa sejarah Istanbul bukan hanya milik satu komuniti sahaja. Kota ini dibentuk oleh pelbagai masyarakat yang hidup bersama, berdagang bersama, dan membina kehidupan mereka di jalan-jalan yang sama yang kita lalui hari ini.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED