+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Mehmet Akif Ersoy Dalam Penghasilan Lagu Kebangsaan Turkiye

Mehmet Akif Ersoy memainkan peranan penting dalam penghasilan lagu kebangsaan Turkiye yang dikenali sebagai İstiklâl Marşı.

Ketika Perang Kemerdekaan Turki sedang berlangsung, negara berdepan keadaan yang sangat sukar dengan ancaman daripada kuasa asing. Pada waktu itu, pemimpin negara merasakan perlunya sebuah lagu yang mampu membangkitkan semangat rakyat dan tentera.

Satu pertandingan kebangsaan kemudian diadakan untuk mencari lirik yang sesuai bagi mewakili perjuangan negara. Pertandingan tersebut menerima sebanyak 724 penyertaan daripada pelbagai penulis dan penyair.

Mehmet Akif pada awalnya enggan mengambil bahagian kerana pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai. Beliau berpendapat bahawa perjuangan dan semangat kemerdekaan negara tidak sepatutnya dinilai dengan ganjaran wang. Selepas dipujuk oleh rakan serta pegawai kerajaan, beliau akhirnya bersetuju untuk menulis puisi tersebut.

Beliau menulis puisinya di kediamannya yang serba sederhana di Ankara yang dikenali sebagai Taceddin Dergahı. Karya yang dihasilkannya bukan sekadar puisi biasa, tetapi menggambarkan semangat perjuangan, keyakinan dan pengorbanan rakyat ketika perang sedang berlaku. Antara mesej utama dalam puisinya ialah keberanian untuk terus bertahan dan keyakinan bahawa kebebasan harus dipertahankan walau apa pun cabaran.

Pada 12 Mac 1921, puisi Mehmet Akif Ersoy dibacakan di hadapan Perhimpunan Agung Kebangsaan Turkiye. Karya tersebut mendapat sambutan yang sangat hebat dan akhirnya dipilih secara rasmi sebagai lirik lagu kebangsaan Turkiye. Menariknya, beliau tidak mengambil hadiah wang yang disediakan dan hadiah itu kemudian disalurkan kepada badan kebajikan.

Bertahun-tahun kemudian, beliau pernah ditanya mengenai Lagu Kebangsaan tersebut. Beliau menjawab bahawa lagu itu tidak mungkin dapat ditulis semula kerana ia lahir daripada suasana dan pengorbanan luar biasa yang dialami rakyat ketika Perang Kemerdekaan.

Menurut beliau, “karya tersebut bukan miliknya, tetapi milik seluruh bangsa Turki.” Beliau juga berdoa agar mereka tidak perlu lagi melalui penderitaan yang memerlukan lahirnya sebuah lagi lagu seperti itu.

Hari ini, İstiklâl Marşı bukan sekadar lagu kebangsaan bagi rakyat Turkiye. Ia dianggap sebagai simbol perjuangan, kemerdekaan dan semangat rakyat yang bangkit ketika zaman yang penuh cabaran. Nama Mehmet Akif Ersoy terus dikenang kerana beliau bukan sahaja menulis sebuah puisi, tetapi turut menghasilkan karya yang menjadi sebahagian daripada identiti negara Turkiye hingga ke hari ini.

Namun di sebalik kejayaan itu, beliau sebenarnya menyimpan harapan yang lebih besar terhadap masa depan negara dan dunia Islam. Harapan yang dibawanya selepas perang akhirnya membawa beliau kepada perjalanan yang jauh lebih rumit pada tahun-tahun berikutnya.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Presiden Ketiga Turkiye: Kisah Celal Bayar

Bila kita sebut tentang tahun awal Republik Turkiye, biasanya nama Mustafa Kemal Atatürk dan İsmet İnönü yang terlintas dahulu. Namun dalam perjalanan politik negara ini, nama Celal Bayar juga sangat…
Read more

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED