
Dalam artikel sebelum ini, saya ada berkongsi bagaimana permohonan permit tinggal di Türkiye (ikamet) kini semakin sukar untuk diluluskan, terutama bagi pemohon kali pertama. Kali ini, saya mahu berkongsi beberapa faktor dan pengalaman sendiri serta apa yang sering dibincangkan oleh warga asing lain.
Walaupun tiada siapa yang benar-benar tahu formula sebenar di sebalik kelulusan atau penolakan permohonan ikamet, ada beberapa perkara yang sering disebut berulang kali oleh mereka yang pernah melalui proses ini.
Salah satu perkara pertama yang sering dibincangkan ialah konsep ‘open neighborhood’ dan ‘closed neighborhood‘. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan Türkiye mula mengehadkan permohonan permit tinggal di kawasan tertentu yang mempunyai populasi warga asing terlalu tinggi.
Langkah ini dipercayai dibuat bagi mengawal kenaikan harga sewa rumah dan melindungi penduduk tempatan daripada terpaksa berpindah akibat kos hidup yang semakin meningkat.
Disebabkan itu, ramai warga asing kini perlu membuat kajian terlebih dahulu sebelum menyewa rumah. Ada kawasan yang masih menerima permohonan baru, dan ada juga kawasan yang hampir mustahil untuk mendapatkan kelulusan ikamet bagi pemohon kali pertama.
2. Memohon Sendiri atau Melalui Agen
Selain itu, ada juga tertanya sama ada lebih baik menguruskan permohonan sendiri atau menggunakan khidmat ejen. Secara am, proses permohonan boleh dilakukan sendiri melalui sistem kerajaan. Tetapi bagi ramai warga asing, cabaran terbesar ialah bahasa.
Walaupun ada pegawai yang boleh bercakap sedikit bahasa Inggeris, kebanyakan urusan masih dilakukan dalam bahasa Turki. Disebabkan itu, ada yang memilih untuk menggunakan ejen bagi membantu menyediakan dokumen, membuat temujanji, dan menerangkan proses yang perlu diikuti. Namun begitu, menggunakan ejen juga tidak menjamin bahawa permohonan akan diluluskan.
3. Body Language Pegawai di Jabatan Imigresen
Bahagian yang paling mendebarkan bagi ramai orang ialah hari temujanji di pejabat imigresen, atau Göç İdaresi. Ramai datang dengan fail dokumen yang tebal, salinan pasport, insurans kesihatan, kontrak rumah, dan pelbagai dokumen tambahan yang disusun dengan sangat teliti.
Daripada apa yang saya dengar, pengalaman semasa temujanji kadangkala membuatkan ada pemohon yang cuba ‘membaca’ reaksi pegawai imigresen yang mengendalikan permohonan mereka. Ada yang percaya jika pegawai banyak bertanya soalan mengenai pekerjaan, kehidupan di Türkiye, atau sumber kewangan, itu sebenarnya petanda yang agak positif kerana pegawai tersebut menunjukkan minat terhadap fail mereka.
Sebaliknya, jika pegawai hanya mengambil dokumen tanpa banyak bercakap, tidak memandang muka pemohon, atau menamatkan sesi dengan terlalu cepat, ramai mula merasa tidak sedap hati mengenai keputusan yang bakal diterima. Sudah tentu, semua ini hanyalah pemerhatian dan pengalaman peribadi yang sering dikongsi dalam komuniti expats.
Apa yang jelas, proses permit tinggal di Türkiye kini bukan lagi sekadar menghantar dokumen dan menunggu kelulusan. Ramai pemohon mula menyedari bahawa setiap langkah memerlukan persediaan yang lebih teliti, terutama bagi mereka yang benar-benar berharap untuk membina kehidupan baru di negara tersebut.