+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Medusa: Dari Mitologi Yunani ke Jantung Istanbul

Di seluruh Anatolia, imej Medusa sering muncul dalam bentuk susunan mozek dan ukiran batu, mencerminkan peranannya sebagai simbol perlindungan. Antara yang paling terkenal ialah di Basilica Cistern, di mana dua kepala Medusa dijadikan tapak tiang dalam posisi terbalik dan mengiring. 

Ianya bukan sekadar hiasan, tetapi dipercayai bertujuan untuk meneutralkan kuasanya atau menjadikannya pelindung ruang tersebut. Kehadirannya di Istanbul hari ini terus menarik perhatian pelancong, menghubungkan mitologi dengan sejarah.

Medusa asalnya seorang wanita yang cantik dan pendeta di Kuil Athena, Greece. Dia kemudian diperkosa oleh Poseidon (abang kepada Zeus) di dalam kuil tersebut. Athena (anak kepada Zeus), dewi kesucian dan pelindung kuil tersebut, menjadi murka kerana tempat sucinya telah dicemari.

Hidup Medusa berubah apabila dia dihukum oleh Athena. Wajahnya bertukar menjadi buruk dan rambutnya menjadi ular. Dari seorang manusia, dia berubah menjadi makhluk yang ditakuti, terasing dari dunia yang pernah mengenalinya.

Sama ada dilihat sebagai hukuman atau perlindungan, perubahan ini menjadikan Medusa memiliki kuasa yang luar biasa, pandangannya mampu menukar sesiapa sahaja menjadi batu. Namun kuasa itu datang bersama kesunyian dan pengasingan.

Takdir Medusa mencapai kemuncaknya apabila Perseus (juga anak kepada Zeus) ditugaskan untuk membunuhnya. Dengan bantuan Athena dan Hermes, Perseus mendekatinya tanpa melihat secara langsung.  

Dengan melihat pantulan dari perisai cermin pemberian Athena, beliau mengelakkan pandangan maut Medusa sebelum memenggal kepalanya. Kepala tersebut kemudian digunakan sebagai senjata, membuktikan bahawa kuasa Medusa tetap kekal walaupun selepas kematiannya.

Di sinilah bermulanya ‘kehidupan kedua’ Medusa. Kepalanya tidak dibuang, sebaliknya digunakan sebagai senjata dan kemudian diserahkan kepada Athena. Wajah yang dahulunya dianggap kutukan kini menjadi simbol perlindungan (apotropaic). Ia diletakkan pada perisai dan bangunan, dipercayai mampu menolak kejahatan dan melindungi daripada bahaya.

Hari ini, Medusa terus hidup dalam budaya moden, dari seni dan fesyen hingga filem dan sastera. Wajahnya sering ditafsir semula sebagai simbol kekuatan wanita, trauma, dan daya tahan.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED