
Selesai iftar, keluarga yang berbuka puasa di sekitar masjid di Turkiye akan berjalan santai di kawasan masjid, kanak-kanak berlari di bawah cahaya lampu hiasan, dan halaman masjid dipenuhi orang yang menunggu waktu solat seterusnya.
Pada zaman dahulu, malam-malam Ramadan juga menjadi waktu untuk bercerita dan bergembira. Salah satu hiburan yang paling digemari ialah persembahan wayang kulit yang menampilkan dua watak terkenal, Karagöz dan Hacivat.
Persembahan ini dilakukan di belakang sebuah skrin putih, dimana patung kulit tersebut digerakkan di antara cahaya dan bayang. Tok dalang berdiri di belakang skrin dan menghidupkan setiap watak menggunakan satu lampu sebagai sumber cahaya. Dari bahagian hadapan, penonton melihat bayang-bayang berwarna yang bergerak dan berbual seolah-olah mereka benar-benar hidup.
Dua watak utama dalam cerita ini sangat berbeza antara satu sama lain, dan perbezaan inilah yang menjadikan persembahan ini begitu lucu.
Karagöz bermaksud Mata Hitam. Dia melambangkan orang biasa. Karagöz seorang yang jujur, tidak berpelajaran, dan selalu bercakap dengan penuh emosi. Bahasa yang digunakannya sangat mudah, dan dia sering salah faham perkataan yang lebih rumit. Salah faham inilah yang mencetuskan kekeliruan yang akhirnya menjadi jenaka.
Hacivat pula berasal daripada nama ‘Hacı İvaz’. Dia melambangkan golongan yang berpendidikan dan lebih dihormati dalam pergaulan. Hacivat bercakap dengan bahasa yang indah dan penuh ungkapan sastera. Dia cuba kelihatan sopan dan bijaksana, tetapi setiap kali dia cuba memberi nasihat kepada Karagöz, perbualan mereka sering berakhir dengan pertengkaran yang menggelikan hati.
Dialog antara mereka sering menggambarkan kehidupan harian masyarakat bandar pada zaman Uthmaniyah. Watak-watak seperti pedagang, tukang, pengembara, dan pegawai kerajaan kadang-kadang muncul dalam cerita.
Pada waktu malam sepanjang bulan Ramadan di Istanbul, persembahan ini sangat dinanti-nantikan. Selepas iftar dan solat tarawih, orang ramai berkumpul di padang sekolah, halaman masjid, dan dataran awam untuk menonton persembahan wayang kulit ini. Kanak-kanak ketawa sementara orang dewasa menikmati permainan kata dan sindiran sosial yang tersirat.
Hari ini, semasa festival Ramadan dan acara kebudayaan, suara Karagöz dan Hacivat masih kedengaran di kota ini. Perbualan lucu mereka mengingatkan orang ramai bahawa malam Ramadan bukan hanya tentang berpuasa dan beribadah. Ia juga tentang berkumpul, berkongsi kegembiraan, dan memelihara tradisi lama yang terus hidup dari generasi ke generasi.