+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Mahya: Cahaya Ramadan yang Menghidupkan Langit Istanbul

Apabila Ramadan menghampiri, salah satu tanda paling jelas muncul di ruang langit Istanbul. Di antara dua menara Masjid Sultan Ahmed contohnya, kata ucapan bercahaya terbentang merentasi malam. Hiasan lampu ini dikenali sebagai mahya.

Tradisi mahya bermula sejak zaman Uthmaniyyah. Lampu minyak dahulu digantung tinggi di antara menara untuk membentuk perkataan dan doa yang boleh dilihat dari jauh. Walaupun teknologi berubah, tujuannya kekal sama, iaitu menghiasi malam Ramadan dengan peringatan tentang rahmat, kesyukuran, dan perpaduan.

Hari ini, warisan ini dipelihara di bawah seliaan Kementerian Budaya dan Pelancongan. Setiap mahya dihasilkan secara manual oleh tukang-tukang yang mahir di bengkel. Kerja mereka menyambung tradisi pertukangan yang telah berlangsung berabad lamanya. Hiasan bercahaya ini disediakan bukan sahaja di Istanbul, malah untuk masjid-masjid di Edirne dan Bursa.

Ucapan yang menghiasi mahya ditentukan oleh Pejabat Mufti Istanbul supaya mesejnya selari dengan semangat bulan Ramadan. Setiap frasa menekankan nilai seperti kesabaran, sedekah, dan ingatan kepada Allah SWT, menjadikan langit Istanbul sebagai medium peringatan setiap malam.

Memasang mahya merupakan tugas yang agak mencabar. Ramadan tahun 2026 jatuh pada musim sejuk, para tukang perlu memanjat tinggi di antara menara dalam suhu dingin, berdepan angin kencang dan ribut. Mereka bekerja beberapa meter dari atas tanah untuk menyusun kabel dan lampu dengan teliti. 

Tugas ini menuntut ketepatan, ketahanan fizikal, dan keberanian. Walaupun sukar, para tukang terus berusaha mengekalkan seni warisan ini demi memastikan tradisi Ramadan yang berusia ratusan tahun terus hidup.

Sepanjang bulan Ramadan, lima reka bentuk mahya berbeza dipamerkan di masjid-masjid utama di Istanbul, memeriahkan suasana dan menarik perhatian masyarakat. Mercu tanda seperti Masjid Hagia Sophia turut menjadi sebahagian daripada tradisi bercahaya ini. 

Mahya bukan sekadar hiasan. Ia adalah jambatan antara pertukangan, sejarah, dan ibadah, memastikan cahaya Ramadan terus menghiasi langit kota seperti yang dilakukan oleh generasi terdahulu.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
    ALL RIGHTS RESERVED