
Bagi saya, setiap perjalanan di Istanbul hampir selalunya bermula di Yenikapı. Sama ada ingin ke Taksim, menyeberang Selat Bosphorus ke Üsküdar, membeli perabot di IKEA, atau menuju ke lapangan terbang, laluan paling mudah dan paling logik selalunya bermula dari stesen ini.
Dalam sebuah bandar metropolis yang besar dan kompleks, Yenikapı menjadi titik mula saya untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain menggunakan pengangkutan awam.
Peranan Yenikapı sebagai hab pengangkutan mula dirancang secara serius pada tahun 1990-an, ketika kerajaan Türkiye dan Majlis Perbandaran Istanbul (IBB) mula mencari penyelesaian jangka panjang untuk kesesakan lalu lintas antara Eropah dan Asia.
Pembinaan stesen ini berjalan seiring dengan projek Marmaray yang secara rasmi bermula pada tahun 2004. Projek ini mendapat sokongan kuat daripada Kementerian Pengangkutan Turkiye dan pembiayaan antarabangsa, termasuk Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun.
Stesen Yenikapı mula berfungsi secara berperingkat. Sambungan Metro M2 (Yenikapı–Hacıosman) dibuka pada tahun 2014, menghubungkan kawasan Hacıosman di utara dengan pusat bersejarah bandar.
Pada tahun yang sama, Metro M1A (Yenikapı–Atatürk Airport) dan M1B (Yenikapı–Kirazlı) turut disusun semula untuk menjadikan Yenikapı sebagai titik pertukaran utama.
Kemuncak peranan stesen ini berlaku pada 29 Oktober 2013, apabila laluan Marmaray secara rasmi dibuka sempena ulang tahun ke-90 Republik Turkiye, menghubungkan Eropah dan Asia melalui terowong bawah Bosphorus.
Dengan pembukaan penuh rangkaian ini, Yenikapı berubah menjadi pusat integrasi yang jarang wujud dalam bandar lama seperti Istanbul. Penumpang kini boleh berpindah antara Marmaray, dua laluan metro utama, serta akses ke feri dan bas tanpa meninggalkan kawasan pusat bandar. Ini mengurangkan tekanan ke atas jambatan Bosphorus dan mempercepatkan pergerakan antara daerah.
Hari ini, Yenikapı berfungsi sebagai nadi pengangkutan bagi ratusan ribu pengguna setiap hari. Ia bukan sekadar stesen transit, tetapi struktur penting yang menyatukan sejarah, geografi, dan keperluan moden Istanbul. Di atas tapak yang pernah menjadi pelabuhan Byzantine dan penempatan awal manusia, kini berdiri sebuah ruang pergerakan abad ke-21.