Miraç Kandili merujuk kepada peristiwa Isra’ dan Mikraj, satu perjalanan rohani Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis, sebelum diangkat ke langit-langit sehingga ke Sidratul Muntaha. Ia bukan sekadar kisah perjalanan, tetapi satu pertemuan antara manusia dan Ilahi, antara bumi dan langit.
Jika Regaip Kandili sering dikaitkan dengan doa dan permulaan harapan, Miraç Kandili pula membawa mesej amanah dan tanggungjawab. Dalam peristiwa inilah solat lima waktu difardukan. Ia menjadikan solat sebagai penghubung harian antara manusia dan Tuhan, satu ‘mikraj kecil’ yang berlaku setiap hari dalam kehidupan seorang Muslim.
Di Turkiye, makna Miraç Kandili bukan hanya dirasai di masjid, tetapi juga dalam ruang awam dan media sosial. Setiap tahun, malam ke-27 bulan Rejab menjadi saat refleksi bersama. Ahli keluarga dan kenalan menghantar mesej – Miraç Kandili Mubarek Olsun.
Presiden Republik Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan, turut berkongsi ucapan sempena Miraç Kandili melalui media sosial beliau:
“Aziz milletimizin ve İslam aleminin Leyle-i Miraç’ını tebrik ediyor, bu mübarek gecenin tüm insanlığa hayırlar getirmesini, huzura vesile olmasını Rabb’imden niyaz ediyorum. Gecemiz mübarek olsun.”
“Saya mengucapkan selamat menyambut Malam Isra’ dan Mikraj kepada negara tercinta kita dan seluruh dunia Islam. Saya memohon kepada Tuhan agar malam yang penuh keberkatan ini membawa keberkatan dan ketenteraman kepada seluruh umat manusia. Semoga malam kita diberkati”.
Ucapan ini mencerminkan bagaimana Miraç Kandili dihayati bukan sekadar sebagai peringatan sejarah, tetapi sebagai doa kolektif untuk keamanan dan kesejahteraan sejagat. Ia juga menunjukkan bagaimana nilai agama masih menjadi bahasa bersama dalam kehidupan Masyarakat di Turkiye hari ini.
Di sekitar Istanbul, suasana Miraç Kandili turut terasa hidup dan penuh penghayatan. Orang ramai menunjukkan minat besar terhadap program Miraç Kandili yang dianjurkan di masjid-masjid utama seperti Hagia Sophia, Sultanahmet, Eyüpsultan, Fatih, Taksim, Büyük Çamlıca dan Süleymaniye.
Ramai yang sanggup beratur untuk menunaikan solat dan memanjatkan doa. Di banyak masjid lain di seluruh bandar, bacaan Maulid turut diadakan bersama doa-doa khas sempena malam ini. Seusai program, jemaah yang keluar dari masjid disambut dengan agihan lokma, lokum dan sahlep, satu tradisi kecil yang menambah rasa kebersamaan dan kehangatan malam yang diberkati ini.