
Selepas kehidupan bawah tanah di Derinkuyu dan ruang ibadat simbolik di Göreme, Kristian awal di Cappadocia mula berubah rentaknya. Perubahan ini paling jelas dapat kita fahami di Ihlara Valley.
Terletak kira-kira 85 kilometer dari Göreme, perjalanan ke Ihlara mengambil masa sekitar satu setengah jam memandu, merentasi dataran luas sebelum landskap tiba-tiba berubah menjadi sebuah lembah hijau yang dalam, diukir oleh Sungai Melendiz. Bentuk muka bumi ini sendiri menjelaskan mengapa kawasan ini dipilih oleh komuniti Kristian di fasa seterusnya.
Di Göreme, kepercayaan dizahirkan melalui gereja batu berhampiran kehidupan komuniti. Di Derinkuyu pula, penganut Kristian terpaksa bersembunyi di bawah tanah demi kelangsungan hidup. Menjelang abad ke-4 M, terutamanya selepas Kristian diiktiraf secara rasmi dalam Empayar Rom pada tahun 313, penganutnya tidak lagi perlu bersembunyi sepenuhnya, namun rasa tidak selamat itu masih wujud. Ihlara Valley menawarkan perlindungan semula jadi tanpa pengasingan total.
Berbeza dengan Derinkuyu, Ihlara bukan dibina untuk situasi kecemasan. Ia merupakan tempat untuk hidup, beribadat, mendidik, dan membentuk komuniti. Gereja-gereja yang dipahat di dinding lembah seperti Gereja Ağaçaltı, Yılanlı, Sümbüllü, dan Pürenliseki menunjukkan perubahan fungsi yang jelas.
Lukisan dinding (frescoes) di Ihlara juga bersifat lebih mendidik. Ia menunjukkan bahawa lembah ini berfungsi sebagai ruang pembelajaran dan pembentukan rohani. Jika di Göreme simbolisme lebih menonjol, imej di Ihlara lebih jelas, menumpukan kepada kisah Bible, para santo, dan pengajaran moral. Kepercayaan tidak lagi disampaikan secara tersembunyi, tetapi diajar secara terbuka.
Apabila menyusuri laluan di Ihlara Valley hari ini, mengikuti aliran sungai di bawah tebing batu yang menjulang tinggi, jelas bahawa tempat ini menandakan satu titik perubahan. Komuniti Kristian awal tidak lagi bersembunyi daripada dunia, namun masih belum diterima sepenuhnya Ihlara ialah kisah tentang kembalinya mereka secara perlahan dan berhati-hati.