
Penerbangan saya ke Antalya mengambil masa kira-kira satu jam. Dari sana, perjalanan darat sekitar dua hingga tiga jam menyusuri pantai Mediterranean membawa saya ke sebuah bandar kecil bernama Demre.
Demre kelihatan sederhana. Tiada bangunan tinggi dan tiada hiruk-pikuk bandar besar. Namun di sinilah terletaknya Bandar Purba Myra, sebuah bandar yang menyimpan asal-usul salah satu tokoh paling dikenali dalam budaya Krismas hari ini.
Tokoh itu ialah Saint Nicholas.
Saint Nicholas dipercayai lahir sekitar 270 Masihi, dalam satu fasa awal Kristian ketika agama ini masih membentuk peranan sosialnya. Beliau bukan tokoh politik atau legenda dongeng. Beliau seorang bishop yang dikenali kerana sikap dermawan dan keprihatinannya terhadap masyarakat sekeliling.
Myra pada zamannya merupakan bandar pelabuhan yang aktif. Pedagang dan pelaut singgah dan berlalu. Dalam suasana ini, Saint Nicholas dikenang bukan kerana ucapan besar, tetapi kerana tindakan kecil yang dilakukannya secara sembunyi. Membantu keluarga miskin, menyokong mereka yang terdesak. serta memberi tanpa mahu dikenali.
Beberapa sumber awal Kristian turut menyenaraikan Saint Nicholas sebagai salah seorang peserta First Council of Nicaea, yang berlangsung pada tahun 325 Masihi di Iznik. Majlis ini menghimpunkan pemimpin Kristian dari seluruh Empayar Rom untuk membincangkan persoalan asas kepercayaan.
Sama ada Saint Nicholas memainkan peranan besar atau sekadar hadir sebagai peserta, kehadiran namanya dalam senarai ini menunjukkan bahawa beliau bukan sekadar tokoh tempatan di Myra, tetapi sebahagian daripada dunia Kristian awal yang sedang dibentuk.
Kisah tentang beliau terus hidup selepas kematiannya. Antara cerita yang paling sering diceritakan ialah bagaimana beliau membantu gadis-gadis miskin dengan meninggalkan sumbangan secara rahsia pada waktu malam. Unsur memberi hadiah tanpa diketahui inilah yang menjadi benih kepada tradisi Santa Claus.
Apabila kisah beliau tersebar ke Eropah melalui gereja dan perdagangan, namanya berubah mengikut bahasa dan budaya. Daripada Saint Nicholas kepada Sinterklaas, dan akhirnya Santa Claus seperti yang dikenali hari ini. Bersama perubahan nama, imej beliau juga berubah. Daripada seorang bishop Anatolia, beliau menjadi figura ceria berjanggut putih dengan pakaian merah.
Dalam Kristian moden hari ini, Santa Claus bukan tokoh teologi. Beliau lebih kepada simbol budaya dan tradisi Krismas. Bagi sesetengah keluarga, Santa Claus menjadi cara untuk mengajar kanak-kanak tentang kemurahan hati. Bagi yang lain, beliau sekadar sebahagian daripada suasana perayaan. Walau bagaimanapun, akar ceritanya tetap terikat kepada seorang lelaki sebenar yang pernah hidup di Anatolia.