Dalam siri Netflix – Istanbul Encyclopedia, kita mengikuti kisah dua watak iaitu Nesrin dan Zehra, yang datang dari latar belakang berbeza tetapi berkongsi konflik dalaman yang semua orang pernah rasa. Ceritanya perlahan dan banyak bermain dengan emosi, tentang agama, kebebasan, keluarga dan bagaimana manusia mencari tempatnya di dunia yang sentiasa berubah.
Nesrin ialah doktor pakar yang sudah lama menetap di Istanbul. Hidupnya nampak biasa, tetapi jiwanya sudah lama penat. Ada hari yang buat dia rasa kota ini tiada lagi ruang untuknya bernafas.
Dalam diam, dia mula merancang untuk berpindah ke luar negara supaya boleh memulakan hidup baru tanpa beban masa lalu. Dia pernah rapat dengan ibu Zehra, jadi bila Zehra muncul dalam hidupnya, semuanya terasa lebih rumit daripada sekadar hubungan orang muda dengan orang dewasa.
Zehra pula baru sampai ke Istanbul dengan penuh harapan. Dia mahu belajar di universiti dalam bidang senibina (architecture) dan membuka lembaran baru jauh dari kampung. Tapi kota ini tidak seperti yang dia bayangkan.
Kebebasan di sini memang menduga hatinya. Dia mula bertanya sama ada dunia moden dan iman boleh bergerak seiring atau tidak. Ada masa dia rasa yakin, ada juga masa yang dia sendiri rasa hilang arah.
Bila Nesrin dan Zehra tinggal bersama, perbezaan cara mereka melihat hidup mula muncul. Nesrin semakin ingin keluar dari tekanan hidup di Istanbul, sementara Zehra masih cuba mencari tapak untuk berdiri. Dalam hubungan ini ada kasih sayang, ada sejarah, dan ada jurang yang sukar ditutup. Mereka saling memerlukan untuk memahami diri sendiri, walaupun tujuan hidup mereka tidak lagi menuju arah yang sama.
Istanbul sendiri menjadi latar tempat yang kompleks. Kota ini selalu buat orang rasa terbahagi dua. Di sini, peluang dan kebebasan membuat kita teruja untuk berubah, tetapi tradisi dan pandangan masyarakat tetap wujud.
Ramai datang berhijrah mencari hidup baru, tetapi akhirnya tersepit antara asal usul dan keinginan untuk menyesuaikan diri dengan dunia moden yang bergerak laju. Perasaan inilah yang Zehra dan Nesrin alami, walaupun dalam cara yang berbeza.
Istanbul Encyclopedia tidak cuba memberi jawapan. Ia hanya menunjukkan bagaimana manusia bertembung dengan hidup yang tidak selalu sehaluan dengan nilai yang mereka pegang. Kadang-kadang kita bersimpati dengan Nesrin, ada masa kita memahami kekeliruan Zehra.
Sebelum menonton, satu perkara perlu kita ingat. Ramai pembuat filem di Türkiye lebih liberal dan bebas dalam berkarya. Jadi tidak mengejutkan jika ada gambaran agama tradisional sebagai beban, terutama untuk watak wanita. Sesetengah penonton mungkin rasa kurang selesa. Lebih baik menonton dengan hati terbuka dan fahami bahawa setiap karya hadir dari perspektif penciptanya.
Siri ini hanya satu season sahaja. Kalau anda suka siri pendek yang penuh pengajaran dan tidak memerlukan masa yang lama untuk dihabiskan, Istanbul Encyclopedia memang sesuai.