Semalam, 5 Disember merupakan Hari Kopi Turki Sedunia, satu tradisi yang sudah wujud sejak beratus tahun dan masih menjadi penghubung antara manusia hingga hari ini. Kopi Turki telah diiktiraf sebagai UNESCO’s Intangible Cultural Heritage pada tahun 2013, tetapi kisahnya bermula jauh lebih awal, sejak zaman Uthmaniyah. Selama berabad lamanya, kopi ini disajikan untuk meraikan tetamu, dihidangkan di majlis-majlis keraian, dan memberi kehangatan pada musim sejuk.
Perjalanan saya sendiri dengan kopi Turki bermula dengan kejutan yang agak lucu. Kali pertama saya minum, rasanya begitu kuat dan pahit sampai saya rasa macam mulut saya kena marinate sepanjang hari. Serius, setiap kali saya bercakap, saya boleh rasa kopi itu masih ada. Saya sempat fikir, mungkin lidah saya belum cukup matang untuk minuman orang Turki. Tapi esoknya saya degil dan cuba lagi. Kali ini saya tambah sedikit gula. Ajaibnya, terus jadi sedap. Lembut, seimbang, dan rasanya boleh diterima akal.
Setiap kali saya ke Spice Bazaar di Eminönü, saya selalu nampak barisan panjang di depan kedai terkenal Kurukahveci Mehmet Efendi. Bau kopi dia boleh tarik orang dari jauh. Ramai beli kopi segar mereka, bukan saja untuk minum sendiri, tapi juga untuk dijadikan hadiah. Ia sudah menjadi simbol keramahan orang Turki dan satu cenderamata yang ringkas tetapi bermakna.
Antara tempat kegemaran saya untuk menikmati kopi Turki ialah di Pierre Loti Hill, kawasan yang sangat cantik di Eyüp Sultan. Duduk di sana sambil minum kopi dengan pemandangan Golden Horn memang satu nikmat. Bila angin sejuk datang menerpa dan aroma panas kopi naik, rasa dunia jadi berhenti sekejap.
Keistimewaan kopi Turki bukan sekadar pada rasa, tetapi juga pada cara penyediaannya. Bijinya digiling halus seperti serbuk. Kemudian ia dimasak perlahan dalam cezve, sejenis periuk kecil khas. Bila buih naik, ia dituangkan ke dalam cawan kecil. Selalunya kopi ini dihidangkan bersama segelas air dan sedikit manisan seperti lokum. Air itu untuk membersihkan mulut, manisan pula membantu seimbangkan rasa kopi yang kuat.
Walaupun dunia sekarang serba laju, kopi Turki masih mengajak kita untuk berhenti sekejap. Ia beri ruang untuk berbual, berehat, dan berhubung dengan orang sekeliling. Sama ada minum di rumah, di kafe, atau ketika berjalan di Istanbul, pengalaman yang diberikannya tetap sama. Ia mendekatkan manusia.
Kalau anda datang ke Istanbul, pastikan Pierre Loti Hill di Eyüp Sultan ada dalam itinerari. Duduk di sana sambil minum kopi Turki dengan pemandangan Golden Horn memang pengalaman yang wajib cuba. Dan paling penting, order yang ada gula (şekerli).