+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Istanbul Darul Scammer – Part 4 (Restoran)

Tidak lama dulu, saya ada terima mesej daripada satu keluarga pelancong dari Malaysia. Mereka ditemani seorang tour guide dan makan di sebuah restoran di Şirkeci. Nada mesej mereka pun saya boleh rasa sudah bercampur marah dan kecewa.

Mereka cerita yang tour guide itu tolong buat pesanan untuk mereka. Set menu untuk empat orang saja, tidak ada apa apa yang pelik pun. Tetapi bila saya tengok gambar bil yang mereka hantar, jumlahnya hampir 8000 lira. Yang buat saya sendiri terdiam, tour guide itu sudah hilang dari restoran sebelum makanan dihidangkan.

Keluarga itu juga tunjuk gambar makanan yang sampai ke meja mereka. Saya tengok pun terkejut. Ini bukan hidangan empat orang, ini cukup untuk tujuh orang. Meja penuh sampai tak nampak permukaan. Mereka cakap mereka langsung tak minta saiz besar. Tour guide pesan atas nama mereka, dan mereka hanya makan apa yang datang.

Akhirnya banyak makanan tak habis. Mereka bukan sahaja rasa rugi, tapi juga rasa diperdaya. Saya faham perasaan itu. Bila kita bercuti, kita bergantung pada orang yang kita percayai. Bila orang itu yang buat kita terjebak dalam penipuan, sakitnya lain macam.

Keluarga itu ambil keputusan untuk menamatkan terus khidmat tour guide tersebut. Mereka tidak mahu ambil risiko kali kedua. Selepas itu mereka memilih untuk pesan makanan secara ala carte sahaja. Bila saya jumpa mereka lagi, saya perasan cara mereka melihat menu pun sudah berubah. Mereka jadi lebih teliti, lebih banyak bertanya dan sentiasa minta penjelasan sebelum buat pesanan. Wajah mereka masih nampak sedikit letih dan trauma dengan apa yang berlaku. Saya sendiri rasa kasihan. Pengalaman yang sepatutnya menyeronokkan sudah bertukar menjadi ingatan pahit.

Saya juga beritahu mereka satu perkara yang ramai pelancong tak tahu. Di kawasan pelancong terutamanya Sultanahmet, ada restoran yang guna dua menu. Satu menu bahasa Turki untuk penduduk tempatan, satu lagi menu bahasa Inggeris untuk pelancong. Harga dalam kedua dua menu ini boleh jadi macam langit dengan bumi. Kalau anda tak perasan, anda mungkin akan bayar lebih tanpa sedar.

Ada tempat yang sengaja mengenakan caj perkhidmatan yang tinggi tanpa memaklumkan terlebih dahulu. Pelanggan hanya sedar selepas bil diletakkan di meja. Pernah juga saya lihat restoran yang tiba tiba menggesa pelanggan supaya bayar secara tunai. Mereka akan beri alasan sistem mesin tidak berfungsi atau kad tidak boleh digunakan. Biasanya tujuan sebenar ialah mengelak cukai kerana bayaran tunai lebih sukar dikesan. Bila sesuatu urusan dibuat tanpa resit rasmi, pelanggan hilang hak untuk membuat sebarang bantahan. Disebabkan itu, saya selalu ingatkan orang supaya minta resit dan elakkan restoran yang terlalu berkeras mahu dibayar secara tunai.

Selepas beberapa tahun tinggal di Istanbul, saya perasan beberapa perkara yang boleh selamatkan kita daripada situasi seperti ini:

✅ Sentiasa minta menu dengan harga jelas sebelum duduk.

✅ Kalau ada menu bahasa Turki, bandingkan dengan menu pelancong.

✅ Tanya tentang saiz hidangan. Jangan anggap ‘one portion’ mereka sama dengan ‘one portion’ kita.

✅ Ambil gambar menu sebelum pesan.

✅ Jangan biarkan tour guide atau pelayan buat pesanan bagi pihak anda (kecuali anda ambil pakej yang dah termasuk makan & minum)

✅ Kalau rasa tak sedap hati, keluar saja. Istanbul ada banyak restoran yang jujur.

Ada banyak sisi cantik di Istanbul, tapi ada juga perkara yang kita perlu berhati hati. Bila saya kongsi kisah ini, saya harap orang lain dapat elak pengalaman yang sama dan menikmati Istanbul dengan lebih tenang.

Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED