+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Sistem Pengenalan Diri di Empayar Uthmaniyah dan Awal Republik Turki

Ketika saya menonton semula filem klasik Malaysia tahun 1966 oleh P. Ramlee, Sabaruddin Tukang Kasut, saya teringat bagaimana masyarakat dahulu sering dikenali melalui pekerjaan atau sifat peribadi mereka. Keadaan sama di Empayar Uthmaniyyah sebelum penubuhan Republik Turki, sebab mereka pun melalui sistem yang hampir serupa. 

Orang Turki pada masa itu tidak menggunakan nama keluarga yang tetap seperti hari ini. Mereka lebih banyak bergantung pada satu nama sahaja, kemudian ditambah dengan penerangan tertentu supaya tidak keliru dengan orang lain yang berkongsi nama yang sama. Cara penamaan ini biasanya berpandukan beberapa kategori. 

Pertama, patronimik: sistem ini menggunakan nama ayah untuk mengenal pasti seseorang. Bagi anak lelaki, ia biasanya ditambah dengan ‘oğlu‘ (anak lelaki), manakala bagi anak perempuan, ia menggunakan ‘kızı‘ (anak perempuan) atau ‘doht’/binti. Contohnya, ‘Ahmet oğlu Mehmet’ bermaksud ‘Ahmet, anak lelaki Mehmet’, dan ‘Fatma kızı Hasan’ bermaksud ‘Fatma, anak perempuan Hasan’. 

Kedua, tempat asal kadang-kadang ditambahkan di hujung nama mengikut gaya Arab, terutamanya popular di kalangan ulama atau orang yang berpengaruh dalam masyarakat agama. Cara ini membantu mengenal pasti seseorang berdasarkan bandar, wilayah, atau kawasan asal mereka.

Contohnya, ‘Mehmed el-Konevî’ bermaksud ‘Mehmed dari Konya’, manakala ‘Mehmed er-Rûmî’ bermaksud ‘Mehmed dari Rûm’, iaitu Anatolia. Sistem ini bukan sahaja menunjukkan asal-usul geografi, tetapi juga kadang-kadang memberikan petunjuk tentang latar belakang pendidikan atau pengaruh budaya individu tersebut.

Ketiga, gelaran kerja seperti Ibrahim si pembuat pedang. Selain itu, ada juga gelaran dan pekerjaan: tajuk yang menerangkan status sosial, perdagangan, atau pangkat ketenteraan seseorang, seperti Hoca (guru/ulama), Paşa (pangkat tinggi tentera), atau Bakkal (peniaga kedai runcit).

Pendek kata, nama mereka berfungsi sebagai pengenalan kehidupan harian. Zaman itu, kalau anda ada kedai, ada kemahiran atau ada hubungan keluarga yang jelas, orang akan terus tahu siapa anda hanya melalui nama.

Segalanya berubah apabila Republik Turki ditubuhkan. Pada tahun 1934, Surname Law diperkenalkan untuk menyeragamkan sistem penamaan rakyat. Semua warga Turki diwajibkan memilih satu nama keluarga yang kekal dan diwarisi oleh generasi seterusnya. Undang undang ini bertujuan mengukuhkan identiti nasional, memudahkan urusan pentadbiran moden, serta menyusun rekod rakyat dengan lebih sistematik. 

Banyak keluarga mula memilih ‘surname’ yang berkaitan dengan sifat gagah, unsur alam, atau asal-usul mereka. Contohnya, nama moden yang popular termasuk Yılmaz (tidak kenal takut), Çiçek (bunga), Deniz (laut), Kaya (batu), Çınar (pokok besar), Öztürk (Turki sejati), dan Aydın (cerah/pintar).

Sudah tentu ada juga pilihan nama yang agak menggelikan hati. Contohnya:

Ali Anahtarcıoğlu – anak kepada tukang kunci, bunyinya seolah olah seluruh keluarga sudah ditakdirkan menjaga kunci seumur hidup.

Mehmet Terzizâde – anak kepada tukang jahit, bayangkan kalau dia sendiri tak tahu jahit sebutang pun.

Poyraz Sucuoğlu – anak kepada penjual air, walaupun dia sendiri kerja dalam bidang IT.

Bayangkan jika undang-undang itu diperkenalkan di Malaysia pada zaman Sabaruddin Tukang Kasut. Mungkin kita akan jumpa nama seperti Awang Tukang Urut atau Ismail Tukang Paip. Sama juga dengan masyarakat Turki pada masa itu.

Bagi saya sendiri, sistem lama itu sebenarnya memudahkan kalau nak simpan nama mereka dalam telefon. Contohnya, saya boleh ‘save’ nama seperti Ali Anahtarcı (tukang kunci), Poyraz Tesisatçı (plumber), Ömer Kapıcı (penjaga bangunan). Dengan cara ini, selain mudah ingat pekerjaan mereka, saya juga tahu siapa mereka secara spesifik tanpa perlu bertanya setiap kali.

Perubahan yang berlaku pada tahun 1934 menjadikan sistem penamaan di Turki lebih moden dan seiring dengan negara-negara lain. Namun sejarah sebelum itu tetap menarik kerana ia membuka tingkap kepada kehidupan harian masyarakat Uthmaniyah.

Sama seperti filem kita sendiri, ia mengingatkan bahawa nama pernah menjadi cerminan pekerjaan dan perwatakan seseorang dalam cara yang sangat jujur dan mudah difahami.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED