+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Kisah Cinta Sultan Süleyman dan Hürrem Sultan yang Mengubah Empayar

Pertama kali saya melawat Masjid Süleymaniye, saya berjalan dari stesen tram Laleli, seterusnya mendaki perlahan menuju ke masjid agung tersebut. 

Setibanya di halaman masjid, suasana terus berubah. Pemandangan ke arah Golden Horn terbentang luas dan masjid itu berdiri dengan gah di atas kota.

Selesai solat di masjid tersebut saya menuju ke makam Sultan Süleyman, ingin melihat di mana pemerintah terkuat empayar itu disemadikan. Setelah memberi salam, saya beredar perlahan, tetapi sebuah lagi makam di sebelahnya menarik perhatian saya. 

Ia terletak sedikit terpisah dikelilingi taman kecil yang sunyi. Itulah makam Hürrem Sultan, wanita yang pernah mengubah perjalanan Empayar Uthmaniyah. Ramai yang tahu kisah para sultan, tetapi tidak ramai yang mengenali kisah isteri serta ibu mereka yang memainkan peranan besar di dalam istana.

Sultan Süleyman dan Hürrem berasal daripada dua dunia yang jauh berbeza. Hürrem dilahirkan sekitar 1502 hingga 1506 di wilayah Ruthenia, ketika itu di bawah Kerajaan Poland dan kini sebahagian daripada Ukraine.

Kawasan ini sering diserang oleh Tatar Crimea yang menangkap penduduk untuk dijual di pasar hamba Caffa, sebuah pasar di bawah kawalan Uthmaniyah. Hürrem ialah salah seorang daripada mereka. Dari Caffa, para tawanan dibawa ke Konstantinopel dalam perjalanan laut selama kira kira sepuluh hari. 

Di pasar besar inilah Pargali Ibrahim Pasha dipercayai membelinya sebagai hadiah untuk sahabat karibnya, Putera Süleyman. Tawanan Slav sering dihargai kerana rupa paras mereka dan Hürrem, yang digambarkan berambut kemerahan seperti wanita dari tanah kelahirannya.

Setelah memasuki rumah tangga diraja, dia menerima dua nama. Utusan Venice memanggilnya Roxelana bermaksud wanita dari Ruthenia, manakala di dalam istana dia dikenali sebagai Hürrem, perkataan Parsi yang membawa makna ceria atau yang suka tersenyum.

Para sultan jarang mempunyai ikatan emosi yang kuat dengan seorang isteri pada waktu itu, namun Süleyman memilih Hürrem sebagai isteri sahnya dan memecahkan tradisi istana. Surat surat mereka yang masih wujud hingga hari ini menunjukkan keikhlasan hubungan tersebut.

Hürrem pernah menulis bahawa “dia hanya menemui ketenangan di sisi suaminya dan tiada kata kata mampu menggambarkan kegembiraannya ketika berada dekat dengannya.” Surat Sultan Süleyman kepada Hürrem pula menunjukkan perasaan yang sama. 

Topkapı menjadi pusat kehidupan mereka. Hürrem tinggal di dalam Harem, tetapi pengaruhnya melangkaui dinding itu sehingga mampu membentuk keputusan negara. Melangkah melalui halaman, bilik bilik sunyi dan taman Istana Topkapı hari ini membuatkan kita terasa seolah menjejak kisah mereka sendiri.

Zuriat mereka juga memainkan peranan besar dalam sejarah. Hürrem melahirkan beberapa orang putera dan puteri, termasuk Mihrimah Sultan yang pernah saya tulis sebelum ini. 

Pada hari saya berdiri di kompleks Süleymaniye itu, di antara dua makam mereka, kisah ini terasa seakan bernafas semula. Hürrem meninggal dunia pada tahun 1558 dan dikebumikan di makamnya sendiri. 

Lapan tahun kemudian, Sultan Süleyman disemadikan di makam bersebelahan. Salah seorang anak mereka, Selim II, menaiki takhta selepas kematiannya. 

Abad selepas itu dikenali sebagai Zaman Kesultanan Wanita (Kadınlar Saltanatı), ketika isteri serta ibu sultan memainkan peranan penting di belakang tabir politik. Semua ini bermula dengan seorang gadis muda yang tiba di Istanbul tanpa nama, tetapi meninggalkan kisah cukup kuat untuk mengubah arah sebuah empayar.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED