+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Sebuah Renungan Tentang Takdir, Kesunyian, dan Harapan dalam Mukadderat

Ada filem yang meninggalkan kesan bukan kerana jalan ceritanya yang gah, tetapi kerana kejujurannya dalam menyampaikan mesej filem tersebut. Mukadderat (atau tajuk dalam English – Fate), adalah salah satunya. 

Berlatar belakangkan sebuah bandar kecil di tepi Laut Hitam (Cide), filem ini mengisahkan Sultan, seorang balu yang mula berdepan dengan rasa sunyi selepas pemergian suaminya yang sudah hidup bersamanya selama 40 tahun.

Apabila dia menyuarakan keinginan untuk berkahwin semula, tercetuslah konflik – bukan hanya dalam keluarganya, tetapi juga dengan masyarakat sekeliling.

Apa yang membuatkan Mukadderat begitu menyentuh hati ialah betapa dekatnya ia dengan realiti. Anak perempuannya, Reyhan, yang pulang dari Istanbul merupakan seorang yang berpendidikan dan hidup moden. Dia menjadi lambang pertembungan antara dua dunia iaitu tradisi dan kebebasan. Dia membantah keputusan ibunya bukan kerana dia kejam, tetapi kerana dia juga merupakan seorang janda yang tidak perlukan lelaki di dalam hidupnya.

Sementara itu, anak lelaki Sultan, Nevzat, bekerja di kahvehane (coffeehouse) miliknya sendiri sebagai çaycı (pembuat teh). Dia sudah terbiasa dengan kehidupan yang sederhana, dengan wajah-wajah yang sama di kejiranannya setiap hari. Dia membantah keputusan ibunya untuk berkahwin sekali lagi, tetapi menukar fikiran selepas melihat ibunya kesunyian.

Plot filem ini tidak tergesa-gesa, dan tersusun teratur. Ia juga tidak terlalu berat dan juga ada komedi yang tidak keterlaluan. Latar tempat dalam filem ini juga menggambarkan realiti hidup saya di Istanbul. 

Setiap minggu pergi ke pazar (pasar minggu), berinteraksi dengan penjual sambil tawar-menawar harga, minum teh di kahvehane dengan orang tempatan sambil mendengar mereka berkongsi cerita dan masalah harian. Kadang-kadang terdengar orang mereka bergaduh antara adik-beradik berkenaan wasiat dan perebutan harta adalah perkara biasa seperti dalam filem ini.

Menonton Mukadderat mengingatkan saya kepada orang-orang yang saya temui di Istanbul, manusia biasa dengan jiwa yang luar biasa. Ketabahan mereka, keikhlasan mereka, dan cara mereka mencari keindahan dalam kesusahan. Hidup tak selalu mudah, namun filem ini mengingatkan kita bahawa selepas setiap perpisahan, masih ada ruang untuk harapan, dan untuk mula kembali.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
    ALL RIGHTS RESERVED