Di satu pekan di Fatih, saya terserempak dengan Zeynep abla, wanita tua yang saya kenal dan sering jumpa di kawasan ini. Dia tinggal berdekatan, dan setiap hari dia akan keluar membawa sedikit makanan untuk kucing jalanan. Dengan tongkat di tangan dan senyuman lembut di wajah, dia tunduk memberi makan sambil memanggil mereka satu persatu. Orang di sekeliling hanya lalu dengan tenang kerana di Istanbul pemandangan begini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.
Dalam Islam, kucing memang dihormati sejak dahulu. Rasulullah SAW sendiri terkenal dengan sifat penyayang terhadap haiwan ini. Ada kisah baginda memotong jubahnya supaya tidak mengganggu kucing kesayangannya, Muezza, yang sedang tidur di atasnya. Dari situlah datangnya ajaran bahawa menyayangi kucing adalah tanda rahmat — kecil pada pandangan manusia, tapi besar pada sisi Tuhan.
Ketika zaman Uthmaniyyah, kasih ini diterjemahkan dalam bentuk yang lebih nyata. Mereka menubuhkan vakıf – dana kebajikan khas untuk menjaga haiwan jalanan. Di tepi masjid dan pancuran air, dibina rumah-rumah batu kecil dipanggil kedi evi, tempat kucing berteduh dan mencari makan. Bagi orang zaman Uthmaniyyah, berbuat baik kepada makhluk Tuhan ialah sebahagian daripada ibadah.
Dikatakan juga Sultan Beyazid II antara yang terkenal dengan kasih terhadap kucing. Di dalam istananya, baginda memelihara beberapa ekor kucing yang bebas keluar masuk bilik-bilik marmar dan taman diraja. Setiap kali kucingnya mati, baginda akan menyuruh agar ia dikebumikan dengan hormat di halaman istana, siap dengan batu nisan kecil bertulis doa. Bagi baginda, menunjukkan belas kepada makhluk kecil itu adalah tanda kehalusan jiwa seorang pemimpin.
Hari ini, semangat itu masih hidup di Istanbul moden. Majlis perbandaran seperti Fatih Belediyesi terus menjaga si bulus kota ini. Rumah kucing berwarna cerah mudah ditemui di tepi jalan dan juga dalam stesen metro, bekas makanan sentiasa diisi, dan klinik veterinar menyediakan rawatan serta suntikan percuma. Di sini, kucing bukan dianggap beban tapi mereka sebahagian daripada identiti Istanbul, berkeliaran bebas antara bangunan lama dan kafe moden.
Kadang-kadang, pelancong akan terpegun melihat betapa bebasnya kucing di kota ini. Ada yang naik tram, ada yang tidur di atas mesin turnstile stesen metro tanpa siapa pun mengusir, malah ada yang berjalan santai di atas eskalator atau berehat di dalam lapangan terbang. Di Istanbul, kucing seolah-olah memiliki pas khas untuk ke mana saja, simbol kecil betapa kota ini benar-benar belajar hidup bersama mereka.
Yang indahnya, kasih terhadap kucing ini tidak mengenal batas — tak kira seseorang itu Islamik atau sekular, muda atau tua, semua berkongsi rasa yang sama: kota ini bukan milik manusia sahaja. Ia juga milik si bulus yang menjelajah lorong-lorongnya. Di tengah perbezaan pandangan hidup, kasih sayang terhadap haiwan ini jadi jambatan yang menyatukan hati.