Tinggal di Istanbul membuatkan saya sedar bahawa Ramadan di sini hadir perlahan-lahan, seperti tetamu yang kehadirannya sudah terasa sebelum pintu dibuka. Beberapa hari sebelum hari pertama puasa, saya mula perasan perubahan di sini.
Nada perbualan orang tempatan jadi lebih lembut dan mereka semakin murah dengan senyuman. Setiap orang mengucapkan:
Ramazanınız mübarek olsun!
Hayırlı Ramazanlar!
İyi Ramazanlar!
Maksudnya sama: “Semoga Ramadan anda diberkati.”
Berjalan di sekitar Istanbul di bulan Ramadan,kita dapat lihat lampu hiasan tergantung di antara menara-menara masjid (mahya) pada waktu malam, contohnya yang tertulis:
‘Hoş geldin onbir ayın sultanı’
Selamat datang wahai sultan sebelas bulan.
Ungkapan ini diberi kerana Ramadan dianggap lebih mulia daripada bulan-bulan lain, lalu diibaratkan sebagai sultan bagi baki sebelas bulan yang lain.
Satu lagi tradisi yang menghidupkan suasana ialah kehadiran Ramazan Davulcuları (pemukul gendang sahur). Sebelum subuh, bunyi paluan gendang bergema di jalanan untuk mengejutkan orang ramai bersahur.
Kali pertama saya mendengarnya terasa menjengkelkan kerana bunyinya yang kuat. Sekarang bunyi itu menjadi sebahagian daripada rutin Ramadan, menandakan bahawa seluruh kejiranan bangun pada waktu yang sama.
Tahun ini, mereka yang tinggal di sini akan berpuasa sekitar 12 hingga 13 jam setiap hari. Tempohnya terasa seperti di Malaysia. Saya sering membandingkannya dengan musim panas, apabila puasa di Istanbul boleh mencecah hampir 17 jam!
Sepanjang bulan ini juga, pihak perbandaran mendirikan khemah iftar di seluruh kota, menyediakan makanan percuma untuk orang ramai. Sup dan roti sering diagihkan di lokasi popular seperti Dataran Sultanahmet, Masjid Taksim dan kawasan jeti Üsküdar, di mana penduduk dan pelawat duduk bersama menunggu waktu berbuka.
Mereka yang membawa makanan sendiri juga boleh mencari ruang berdekatan untuk makan bersama. Selalunya kita dapat melihat keluarga membawa masakan dari rumah, ibu bapa menghampar tikar kecil, menyediakan makanan dan çay, sementara anak-anak bermain di sekeliling. Ada juga yang mengambil masa membaca al-Quran dan berzikir sebelum berbuka, menjadikan suasana itu terasa hidup dan penuh kebersamaan.
Apabila azan maghrib berkumandang dan puasa dibuka, mereka akan segera menunaikan solat Maghrib di masjid sebelum kembali menyambung makan. Suasana menjadi santai dan panjang, kerana mereka tidak terus pulang. Kebanyakan orang menunggu sehingga waktu tarawih, berbual bersama keluarga dan rakan, atau sekadar berehat di kawasan sekitar masjid sebelum pulang ke rumah masing-masing.