
Perjalanan ke Bandar Purba Priene terasa berbeza sejak awal. Dari Söke di wilayah Aydın, jalan perlahan-lahan membawa ke kawasan yang semakin sunyi sebelum naik ke lereng Dilek Dağı. Tidak seperti Bandar Purba Assos di Çanakkale, yang menghadap terus ke Laut Aegean dan terasa hidup dengan perkampungan di bawahnya, Priene terletak jauh dari garis pantai moden. Semakin tinggi kita mendaki, semakin jelas bahawa bandar ini tidak dibina untuk pemandangannya, tetapi untuk susunan bandar yang lebih teratur.
Selepas era Aristotle, pemikiran Yunani (Greek Kuno) tidak berhenti pada individu. Ia mula diterjemahkan ke dalam kehidupan harian, termasuk cara bandar dibina dan manusia hidup bersama. Inilah dunia pemikiran Hellenistik.
Priene dibina sekitar abad ke-4 SM, pada zaman pemikiran Hellenistik mula berkembang. Bandar ini menggunakan pelan grid yang dikaitkan dengan Hippodamus, seorang perancang bandar yang percaya bahawa kehidupan manusia boleh diatur secara rasional. Jalan-jalan disusun lurus dan bersilang, kawasan awam dipisahkan dengan jelas daripada kawasan kediaman, dan setiap ruang mempunyai fungsi khusus.
Di sinilah Priene sangat berbeza daripada Assos. Assos berkembang lebih awal, sejak sekitar abad ke-7 SM, dan tumbuh secara lebih organik mengikut bentuk alam. Jalannya mengikut kontur tanah, bangunannya dibina secara rawak, dan kehidupan bandar seolah-olah menyesuaikan diri dengan persekitaran. Priene pula sebaliknya. Alam disesuaikan dengan pemikiran. Bandar ini dirancang dengan teratur sebelum kehidupan mengisinya.
Perbezaan ini mencerminkan perubahan cara berfikir. Jika di Assos kita melihat falsafah sedang dibentuk melalui pemerhatian dan pengalaman, di Priene kita melihat falsafah itu sudah diterjemahkan menjadi sistem. Pemikiran Hellenistik tidak lagi bertanya tujuan kehidupan semata-mata, tetapi bagaimana kehidupan itu patut diatur.
Berjalan di sekitar runtuhan Priene hari ini, kita bukan sekadar melihat tinggalan sebuah bandar lama. Kita sedang menjejak satu cara berfikir yang pernah mengatur kehidupan manusia dengan begitu tersusun. Di sinilah idea mula diterjemahkan menjadi ruang dan jalan. Dan ini hanyalah satu contoh. Di bandar purba lain di Anatolia, pemikiran yang sama mengambil bentuk yang berbeza, menunggu untuk diceritakan.