+60198815190  
 akudianatolia@gmail.com

Secawan Kopi di Bukit Pierre Loti

Bas yang saya naiki  berhenti berhampiran stesen kereta kabel Eyüp Sultan. Ramai orang turun di hentian yang sama, ada pelancong, ada juga warga tempatan yang jelas sentiasa ke sini.

Saya berjalan perlahan melalui gerai-gerai peniaga, tidak terlalu tergesa-gesa, kerana tujuan saya petang itu hanya datang untuk minum kopi Turki sambil membaca buku, dan duduk menghadap pemandangan Golden Horn

Dari atas Bukit Pierre Loti, pemandangannya terbuka luas. Air di Golden Horn mengalir perlahan, angin dingin menerpa lembut ke muka, dan seekor kucing datang  menggeselkan kepalanya. Saya pesan secawan kopi Turki dengan gula, cari tempat duduk menghadap pemandangan laut, dan mula membaca.

Selepas beberapa lama, seperti biasa, fikiran saya kembali kepada nama yang menjadikan bukit ini terkenal. Pierre Loti. Seorang penulis Perancis yang namanya masih hidup di Istanbul kerana cara beliau melihat dan menulis tentang kota ini.

Pierre Loti, atau nama sebenarnya Julien Viaud, datang ke Istanbul pada penghujung abad ke-19, ketika Empayar Uthmaniyyah berada dalam tempoh yang bergolak. Pada masa itu, Istanbul sering digambarkan oleh penulis Barat sebagai eksotik, misteri, atau mundur. Pierre Loti menulis dengan pendekatan yang berbeza. Beliau tidak datang untuk mengajar atau menghakimi, tetapi untuk memerhati dan mendengar kisah mereka. 

Karya beliau yang paling popular ialah Les Désenchantées, diterbitkan pada tahun 1906. Buku ini memberi tumpuan kepada kehidupan wanita Uthmaniyyah, khususnya wanita kelas atasan dan istana, yang hidup di sebalik dinding tradisi dan adat.

Pada zaman itu, hampir tiada penulis Barat yang cuba memahami dunia wanita Uthmaniyyah dari sudut pandang mereka sendiri. Pierre Loti melakukan sesuatu yang unik. Beliau menulis tentang wanita yang berfikir, membaca, berbicara, dan sedar akan batasan hidup mereka.

Walaupun Les Désenchantées sering dianggap karya paling terkenal beliau di Istanbul, Pierre Loti sebenarnya menulis banyak karya lain yang menggambarkan Empayar Uthmaniyyah secara lebih menyeluruh, daripada kehidupan kota, suasana politik, hingga perasaan kehilangan sebuah empayar yang sedang runtuh.

Hari ini, walaupun bandar ini telah berubah wajah, perasaan itu masih boleh dirasai. Apabila kopi saya habis, saya tahu sudah tiba masa untuk turun semula, berjalan sepanjang tanah perkuburan menuju ke Masjid Eyup Sultan untuk solat sebelum pulang ke rumah.

Related Post;
Petang yang Mendamaikan di Üsküdar

Petang yang Mendamaikan di Üsküdar

Perjalanan saya ke Üsküdar biasanya bermula di Eminönü. Naik sahaja feri menuju ke Üsküdar, carilah tempat duduk di bahagian luar. Ketika feri mula meninggalkan dermaga, angin Bosphorus mula menerpa lembut…
Read more

Petang yang Mendamaikan di Üsküdar

Perjalanan saya ke Üsküdar biasanya bermula di Eminönü. Naik sahaja feri menuju ke Üsküdar, carilah tempat duduk di bahagian luar. Ketika feri mula meninggalkan dermaga, angin Bosphorus mula menerpa lembut…
Read more

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED