+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

İsmet İnönü: Maçka Park dan Memori Seorang Negarawan

Saya sedang berjalan santai melalui Maçka Park dari Nişantaşı menghala ke Dolmabahçe. Ketika menuju ke bahagian taman yang lebih tinggi, saya ternampak sebuah patung gangsa seorang tokoh berkuda.

Rupanya itu ialah İsmet İnönü, Perdana Menteri pertama dan Presiden ke-2 Türkiye moden. Patung itu kelihatan seolah-olah tersembunyi di celah kehijauan, namun membawa aura sejarah yang kuat.

Nama sebenarnya ialah Mustafa İsmet. Sebelum memasuki dunia politik sepenuhnya, İnönü memainkan peranan penting dalam pembentukan angkatan tentera republik. Beliau menjadi ketua pertama Ketua Turus Angkatan Tentera dari tahun 1922 hingga 1924 dan memimpin pasukan Turki dalam dua pertempuran penting, iaitu Pertempuran İnönü Pertama dan Kedua. 

Kemenangan ini bukan sahaja mengangkat moral tentera, tetapi juga mengubah arah perjuangan kemerdekaan. Atatürk menghargai jasanya hingga menghadiahkan beliau nama keluarga İnönü sempena lokasi pertempuran tersebut, ketika Surname Law diperkenalkan pada tahun 1934.

İnönü menjadi presiden selepas kematian Ataturk pada tahun 1938. Republik muda itu sudah melalui satu konflik dunia di bawah Ataturk, yang memimpin negara merentasi detik-detik akhir Perang Dunia Pertama serta perjuangan yang membentuk negara moden. Selepas itu, giliran İnönü pula memikul tanggungjawab besar ketika dunia memasuki satu lagi zaman bergolak.

Cabaran terbesarnya bermula dengan tercetusnya Perang Dunia Kedua. Türkiye berada di kawasan sensitif, ditekan oleh kuasa-kuasa besar dari pelbagai arah. Matlamat utama İnönü ialah mengelakkan negara daripada musnah dalam peperangan.

Melalui diplomasi yang berhati-hati dan kepimpinan yang tenang, Türkiye berjaya mengelakkan penglibatan langsung dalam perang. Keputusan ini menyelamatkan jutaan nyawa dan melindungi negara daripada kehancuran yang melanda sebahagian besar Eropah.

Selepas perang berakhir, İnönü memberi tumpuan kepada pembaharuan politik. Dunia sedang berubah pantas dan beliau percaya Türkiye perlu berubah seiring dengannya. Di bawah kepimpinannya, sistem satu parti negara berkembang menjadi sistem pelbagai parti.

Kemunculan Parti Demokrat dan kemenangannya dalam pilihan raya 1950 menjadi detik bersejarah. İnönü menerima keputusan itu dengan tenang, dan langkah ini mengukuhkan tradisi peralihan kuasa secara demokratik.

Reputasi sejarah İnönü banyak terikat pada dua peristiwa penting. Beliau merupakan salah seorang komander yang membantu kemenangan dalam Perang Kemerdekaan. Beliau juga berjaya menghalang Turkiye daripada terlibat dalam Perang Dunia Kedua, satu keputusan yang dihormati walaupun oleh para pengkritiknya. 

Pada masa yang sama, beliau dikenang sebagai pemimpin dalam era ketika Türkiye masih kecil dari segi kekuatan ekonomi dan ketenteraan, sebuah negara yang aman tetapi bergelut dengan kemiskinan serta ketegangan politik. 

Ketika saya berdiri di hadapan patung İnönü di Maçka Park, semua babak sejarah ini terasa lebih dekat. Memorial itu kelihatan sunyi dan hampir terpinggir di celah pepohon, namun kisah di sebaliknya telah membentuk satu generasi dan meninggalkan kesan besar dalam hala tuju republik moden.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED