Dari rumah saya di Fatih, ada banyak cara untuk ke Taksim. Istanbul adalah bandar yang kita boleh pilih rentak sendiri. Ada metro yang sambung banyak kawasan menarik, ada bas yang kerap lalu, ada dolmuş (minibus) yang hampir tidak pernah berhenti beroperasi, dan ada juga teksi kalau nak cepat.
Walaupun ada banyak pilihan, saya paling suka naik bas. Ia laju, mudah untuk naik, dan melalui laluan yang saya sudah biasa. Bas biasanya akan turunkan saya dekat kawasan Tarlabaşı, dan dari situ saya akan berjalan naik menuju Istiklal Street. Tidak jauh pun, cuma beberapa minit saja, tetapi suasana di kawasan itu boleh berubah dengan sangat ketara.
Pada waktu siang, kawasan ini kelihatan seperti mana-mana kawasan lama Istanbul. Ada kedai runcit kecil, bangunan lama, dan orang tua duduk berbual di luar rumah. Tetapi bila malam menjelma, suasana berubah. Bila lampu dari Masjid Taksim mula bersinar di atas bumbung, perbezaan menjadi semakin jelas. Bila saya melangkah lebih dalam, suasana bertukar lebih tak selesa.
Pada waktu malam, saya selalu nampak beberapa pekerja seks menunggu di tepi jalan. Kebanyakannya transgender. Mereka tidak pernah mengganggu saya, tetapi kewujudan mereka menunjukkan realiti kawasan ini yang kurang sesuai untuk pelancong. Ia kawasan yang didiami komuniti yang lebih ‘vulnerable‘, dan itu sendiri sudah mengubah rasa kawasan tersebut.
Bila berjalan lebih jauh, kadang-kadang saya dengar orang bertengkar selepas minum arak. Suara mereka bergema di celah-celah bangunan yang rapat. Walaupun tiada apa yang berlaku pada saya, suasana kawasan ini memang buat seseorang lebih berjaga-jaga.
Sebab itu ramai penduduk tempatan selalu nasihat supaya elakkan Tarlabaşı kecuali kalau memang ada urusan di sana. Kawasan ini sudah lama ada reputasi yang agak buruk. Ada projek pembaharuan dibuat, tetapi perubahannya perlahan dan belum cukup untuk mengubah suasana keseluruhan.
Orang Istanbul sendiri tahu kawasan mana yang selamat, mana yang sedang berubah, dan mana yang lebih baik dielakkan waktu malam. Pelancong pula mungkin tidak sedar perkara ini sehingga mereka sudah pun masuk ke kawasan tersebut.
Hal ini juga sangat penting bila mencari penginapan. Ramai pelancong mencari penginapan online dan tertarik dengan iklan yang ditulis ‘near Taksim” atau ‘walking distance to Istiklal’. Lokasinya nampak menarik, gambar pun cantik, dan harga pula lebih murah.
Masalahnya, ada sebahagian airbnb atau hotel-hotel ini sebenarnya terletak di dalam Tarlabaşı. Untuk orang yang tidak pernah datang, mudah untuk fikir mana-mana tempat dekat Taksim mesti bagus. Hakikatnya, beberapa minit berjalan kaki saja boleh bawa anda dari kawasan yang meriah ke kawasan yang suasananya sangat berbeza waktu malam.
Kalau anda datang bercuti atau bersama keluarga, lebih baik pilih kawasan yang memang terkenal selamat dan mesra pelancong. Cihangir sesuai untuk mereka yang suka suasana santai dan artistik. Galata pula cantik dengan kafe kecil, lorong-lorong cantik dan tempat bergambar.
Karaköy lebih hidup dengan restoran moden, kedai roti dan suasana tepi Selat Bosphorus. Nişantaşı pula menawarkan kawasan yang lebih bersih, tenang dan moden. Kawasan-kawasan ini masih dekat dengan Taksim tetapi jauh lebih selesa daripada Tarlabaşı.
Istanbul memang bandar yang menarik untuk diterokai, tetapi seperti mana mana bandar besar, ada tempat yang lebih baik dielakkan kecuali anda sudah biasa. Setiap kali saya berjalan dari hentian bas, saya nampak sendiri perbezaannya. Selagi anda pilih kawasan yang betul, anda boleh menikmati percutian tanpa risau dan melihat sisi terbaik Istanbul.