+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Siapa Mustafa Kemal Atatürk di Mata Orang Turki (Part 2)

Bulan lepas saya ada menulis tentang Atatürk dan bagaimana rakyat Turkiye melihat beliau. Artikel itu dapat banyak respons, dan juga komen-komen yang kurang menyenangkan. Hari ini saya mahu jelaskan satu perkara penting.

Di Turkiye, penghinaan terhadap Atatürk bukan sekadar isu sensitif. Ia juga satu kesalahan undang-undang yang boleh membawa hukuman penjara. Ramai pelancong pun tidak tahu hal ini.

Atatürk bukan hanya figura sejarah. Beliau dianggap simbol kelahiran semula Turkiye moden selepas runtuhnya Empayar Uthmaniyyah. Nama beliau dikaitkan dengan sekularisme, pendidikan, reformasi wanita, sains dan pembinaan identiti negara baharu.

Jadi bagi rakyat Turkiye, menghina Atatürk seolah-olah menghina asas negara mereka sendiri. Sebab itu undang-undang yang melindungi memori beliau masih dikuatkuasakan hingga hari ini.

Undang-undang yang paling terkenal ialah Undang-Undang 5816, iaitu Law on Crimes Committed Against Atatürk. Isi undang-undang ini jelas. Sesiapa yang secara terbuka menghina, merendahkan atau mengutuk memori Atatürk boleh dipenjara antara satu hingga tiga tahun.

Jika perbuatan itu melibatkan kerosakan patung, gambar atau monumen, hukumannya lebih berat. Ramai orang Turki sendiri pernah dibawa ke mahkamah kerana kes kecil yang tular di media sosial. Maknanya undang-undang ini bukan sekadar hiasan.

Selain itu ada juga Perkara 301 dalam Kanun Keseksaan Turki. Perkara ini melarang sesiapa daripada menghina negara, institusi, atau wira nasional. Atatürk termasuk dalam kategori itu. Walaupun perkara ini lebih umum, ia sering digunakan jika ada penghinaan terhadap simbol kebangsaan. Disebabkan media sosial, kes begini lebih mudah dikesan dan disiasat.

Untuk memberi gambaran yang lebih jelas, banyak kes pernah berlaku dalam dua puluh tahun kebelakangan ini. Pada tahun 2018, seorang ketua kampung (muhtar) di İzmir dipenjara kerana posting di media sosial yang dianggap menghina Atatürk.

Dalam tahun yang sama, seorang pelajar universiti ditahan selepas menjerit kata-kata yang tidak sopan tentang Atatürk ketika upacara memperingati beliau.

Tahun 2023 pula menyaksikan seorang pelajar sekolah menengah dijatuhi hukuman satu tahun lapan bulan kerana membuat tanda isyarat lucah di hadapan gambar Atatürk. Walaupun hukuman itu ditangguhkan kerana faktor umur, ia tetap menunjukkan betapa seriusnya kes begini.

Setakat ini, tidak banyak laporan yang menunjukkan pelancong asing dipenjarakan semata-mata kerana penghinaan secara langsung. Namun undang-undang tersebut meliputi siapa sahaja yang berada di Turkiye. Jika ada posting di media sosial yang dibuat ketika seseorang berada di dalam negara itu, ia masih tertakluk kepada undang-undang. Pendek kata, sesiapa sahaja boleh disiasat jika mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina Atatürk secara terbuka.

Sebagai penulis yang berkongsi pengalaman di Turkiye, saya rasa penting untuk jelaskan hal ini agar pembaca tidak tersalah langkah. Kadang-kadang orang luar fikir ia sekadar gurauan atau kritikan ringan, tetapi bagi rakyat Turkiye ia perkara yang sangat serius. Lebih baik kita menghormati budaya dan undang-undang negara yang kita lawati. Bukan hanya untuk elak masalah, tetapi juga sebagai tanda bahawa kita datang dengan niat baik.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED