+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Dari Nasaruddin ke Nasrettin: Cerita Saya di Türkiye

dari nasaruddin ke

Setiap kali saya perkenalkan diri di Türkiye, saya selalu mulakan dengan senyuman dan berkata, 

“Merhaba, benim adım Nasaruddin”. 

“Hi, nama saya Nasaruddin”.

Hampir serta-merta, wajah orang Turki akan berubah ceria. “Aa! Nasrettin!” mereka jawab, lidah mereka secara semula jadi menukar huruf ‘D’ kepada ‘T’, seperti mana nama Muhammad menjadi Mehmet. 

Ramai kawan Turki panggil saya Nasret. Bunyinya mesra di telinga mereka, dan entah kenapa, buat saya rasa seolah-olah saya sebahagian daripada mereka. Yang baru kenal pula panggil formal jadi Nasrettin bey.

Perkara kecil pada sebutan nama itu sering jadi ice-breaker paling mudah. Dari situ, biasanya perbualan beralih kepada cerita tentang seorang tokoh legenda bernama Nasrettin Hoca, yang begitu disayangi rakyat Türkiye.

Nasrettin Hoca ialah seorang ahli falsafah, sarjana, dan juga pelawak bijaksana dari abad ke-13. Beliau dilahirkan di kampung Hortu berhampiran Sivrihisar, dan kemudian menetap di sekitar Akşehir.

Kisah-kisahnya yang sarat dengan humor dan pengajaran hidup diturunkan dari satu generasi ke generasi berikutnya. Hampir setiap anak Turki membesar dengan cerita bagaimana Hoca mempermainkan pedagang tamak, menegur manusia dengan cara lembut, atau memberi pengajaran melalui jenaka yang kelakar tapi penuh makna.

Hingga hari ini, wajah Nasrettin Hoca masih ada di mana-mana, dalam kartun kanak-kanak, mural di kampung, dan juga dicetak pada cawan teh Turki. Jenakanya digunakan dalam buku teks sekolah, teater, malah dalam meme media sosial. Orang Turki tidak ketawa pada Hoca, tetapi bersama Hoca.

Dia bukan sekadar tokoh sejarah; dia lambang kebijaksanaan rakyat biasa. Dalam budaya yang terkenal dengan kesantunan dan bahasa kiasan, jenaka Hoca menjadi cara untuk menyampaikan kebenaran yang sukar dengan penuh halus dan humor.

Menariknya, walaupun nama Nasrettin begitu terkenal dalam budaya Turki, ia kini dianggap nama lama. Orang Turki hari ini jarang menamakan anak mereka dengan nama itu. Mungkin kerana ia terlalu klasik dan mengingatkan zaman silam. Generasi moden lebih gemar nama seperti Emir, Umut, Deniz, Kerem, atau Emre. Nama yang pendek, moden dan mudah disebut.

Beberapa bulan lepas, saya ke Eskişehir, bandar yang sering dikaitkan dengan nama Nasrettin Hoca. Di ETÖ Müze, saya akhirnya berdiri di hadapan patungnya. Seorang lelaki tua yang duduk di atas keldai, menghadap ke belakang. Simbol itu penuh makna: kadang-kadang dalam hidup, kita tetap maju walaupun melihat ke belakang.

Antara kisah Hoca yang paling saya suka ialah ketika seseorang bertanya kepadanya, “Di manakah pusat dunia?” Lalu Hoca menunjuk ke tanah dan berkata, “Di sini, di tempat kaki keldai aku berpijak.” Orang ramai ketawa, dan Hoca menjawab dengan tenang, “Buktikan aku salah.”

Cerita itu buat saya tersenyum. Ia mengingatkan bahawa di mana pun kita berdiri, di situlah pusat dunia bagi diri kita. Mungkin itulah yang perjalanan ajarkan, bahawa makna bukan pada tempat, tapi pada rasa keterikatan dan hubungan yang kita temui di sana.

Ketika saya berdiri di Eskişehir hari itu, saya sedar saya bukan sekadar pengembara yang singgah di Türkiye. Saya adalah Nasrettin, orang asing yang terasa seperti pulang ke tempat yang dikenalinya sejak lama. Kadang-kadang saya tertanya, mungkin ini takdir untuk datang ke sini, menyebut nama yang sudah lama bergema di bumi Anatolia, dan akhirnya menjadikan tempat ini rumah kedua saya.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED