+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Tentang Roti, Rezeki dan Rasa Syukur Orang Turki

Di Türkiye, ada satu perkara kecil yang selalu buat saya tersentuh setiap kali nampak iaitu cara orang Turki menghormati roti. Ini termasuk roti-roti kecil seperti simit, açma, dan poğaça.

Kalau sekeping roti terjatuh ke lantai, mereka akan cepat-cepat tunduk, kutip, cium, dan sentuh ke dahi sebelum letak semula di tempat yang bersih. Bagi mereka, roti bukan sekadar makanan. Ia nimet – satu rezeki, satu anugerah yang datang terus daripada Tuhan.

Kali pertama saya perasan masa tengah minum çay di sebuah kedai kecil di Fatih. Seorang lelaki tua di meja sebelah menjatuhkan sekeping roti simit dari pinggannya. Tanpa cakap apa-apa, dia tunduk, ambil simit tu, cium, dan sentuh ke dahinya perlahan-lahan.

Lepas tu dia letakkan simit itu di atas tembok batu di luar kedai, bukan untuk dimakan, tapi untuk burung atau kucing jalanan. Semua orang di situ nampak macam dah biasa, seolah-olah itu perkara paling normal di dunia.

Saya tanya tuan kedai, “Kenapa dia buat macam tu?”

Dia senyum dan jawab pendek, “Ekmek kutsaldır. Roti itu suci.”

Dalam budaya Turki, menghormati roti bukan sekadar adat, ia berakar dari ajaran Islam dan sejarah panjang Uthmaniyyah. Dalam Al-Quran, rezeki disebut sebagai tanda kasih sayang Allah, dan membazirkannya dianggap satu dosa.

Pada zaman Uthmaniyyah, kerajaan malah mempunyai jawatan khas dipanggil ‘Ekmekçi‘ iaitu pengurus bekalan roti untuk rakyat. Roti dianggap simbol kesamarataan: semua orang, kaya atau miskin, akan makan roti setiap hari. Sebab tu, membazir roti dilihat seolah-olah menghina nikmat yang Tuhan bagi.

Seorang kawan Turki pernah ceritakan pada saya asal-usul sikap tegas ni dalam keluarganya. Katanya,

“Nenek moyang saya hidup dalam zaman kebuluran teruk di Anatolia. Nenek kepada nenek saya pernah cerita, ada waktu dia terlalu lapar sampai terpaksa kumpul bijian dari najis haiwan untuk dimakan.”

“Bila kau dibesarkan dalam suasana macam tu, membazir makanan bukan sekadar kesilapan, ia macam menempah maut. Jadi, keluarga yang pernah alami kelaparan tu akan mendidik anak-anak dengan cara yang keras. Kalau anak buang roti, mereka akan marah, menjerit, malah kadang sampai ugut. Mereka akan kata, ‘Kalau buang roti, nanti masuk neraka.’ Itu cara mereka memastikan anak-anak tak lupa betapa berharganya rezeki.”

Cerita tu buat saya terdiam lama. Bagi generasi sekarang, mungkin bunyinya kejam, tapi bagi mereka, itu cara untuk bertahan hidup.

Walaupun ramai orang muda di Istanbul hari ini hidup moden dan sekular, tradisi ni tetap kekal. Di jalan-jalan kota, kita akan nampak roti lama yang tak habis disangkut pada pagar, diletakkan atas tembok, atau diikat dalam beg plastik kecil untuk haiwan jalanan.

Saya sendiri pernah nampak seorang wanita di Balat membaling beg berisi roti ke atas bumbung bangunan. Tak lama lepas tu, burung-burung camar datang menyambar, diikuti beberapa ekor kucing yang memang dah siap menunggu di situ.

Dan dalam satu cara yang sangat halus, tradisi ni buat saya sedar betapa masyarakat Turki masih hidup dengan rasa syukur yang mendalam, walaupun dunia mereka semakin moden.

Saya terus teringat pada cara kita di Malaysia menghormati nasi. Dulu masa kecil, kalau tertumpah nasi atas meja, mak kita akan marah. Katanya, “Jangan bazir rezeki.” Sekarang saya faham, nilai itu sama juga di sini, cuma bentuknya lain.

Di Türkiye, setiap potong roti mengingatkan mereka pada keringat petani, pada tanah yang subur, dan pada tangan yang membakar roti setiap pagi. Ia bukan sekadar makanan, ia simbol kehidupan.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
    ALL RIGHTS RESERVED