Siri Turki Ethos (Bir Başkadır) di Netflix bukan sekadar drama, ia adalah cermin kepada kehidupan moden di Istanbul. Ceritanya menghubungkan enam watak utama dari pelbagai latar belakang, masing-masing cuba menyelesaikan masalah hidup dengan cara tersendiri.
Ethos memerhati identiti dan kesihatan mental dengan empati, tanpa menghakimi seseorang. Dengan sinematografi yang indah dan runut bunyi yang lembut, siri ini menimbulkan persoalan tentang siapa kita, dan kenapa kita ‘judge’ orang lain seperti mana kita sentiasa lakukan tanpa sedar.
Antara semua watak, dua yang paling menarik bagi saya ialah Meryem dan Peri – dua wanita dari dunia berbeza yang dipertemukan secara tidak sengaja.
Meryem ialah gadis muda yang bekerja sebagai tukang cuci, tinggal bersama keluarga sederhana di pinggir Istanbul. Dia bertudung, lemah-lembut, dan sangat menghormati agama. Walaupun hidupnya penuh kekangan, Meryem punya cara tersendiri untuk kekal tenang iaitu dengan berdoa, mendengar nasihat hodja, dan terus berbuat baik pada orang sekeliling.
Peri, pula, seorang pakar psikiatri dari keluarga kaya dan sekular. Hidupnya moden, selesa, tapi juga sunyi. Dia dibesarkan dalam lingkungan elit yang sering melihat orang seperti Meryem dengan pandangan stereotaip.
Peri rapat dengan rakan-rakannya yang sehaluan fikiran, namun renggang dengan ibunya yang penuh keluhan tentang masyarakat dan agama. Dalam ruang hidup yang serba teratur, Peri kadang-kadang tampak hilang arah, terperangkap antara profesionalisme dan rasa ingin faham manusia yang sangat berbeza darinya.
Mereka akhirnya bertemu dalam bilik terapi – satu situasi yang ironik, tapi juga sangat simbolik. Meryem disarankan oleh hodja untuk berjumpa psikiatri selepas sering pengsan tanpa sebab jelas.
Di bilik itu, dua dunia yang jarang bertembung akhirnya bertemu. Satu datang dengan kejujuran yang polos, satu lagi dengan pandangan analitikal dan penuh prasangka. Namun setiap sesi membuka sedikit ruang di antara mereka; ruang untuk bertanya, mendengar, dan mungkin memahami satu sama lain.
Melalui lakonan hebat setiap watak, siri ini menggambarkan ketegangan sosio-budaya yang wujud dalam masyarakat Turki hari ini, meskipun hakikatnya ketegangan itu bersifat sejagat. Ia memperlihatkan pertembungan berterusan antara moden dan tradisional, agama dan sekularisme, keinginan dan norma sosial, serta antara konservatif dan liberal.
Bila saya menonton siri Ethos ni, saya teringat kehidupan seharian saya di Istanbul. Dalam kota yang penuh dengan pelbagai ragam dan pandangan, saya belajar bahawa kita tak boleh terlalu cepat menilai. Setiap orang datang dari latar yang berbeza, cara fikir, cara hidup, cara beragama.
Yang menarik tentang Ethos ialah ia tidak menyebelahi sesiapa. Ia tak cuba tentukan siapa yang betul, tapi tunjukkan bagaimana dua dunia yang berbeza sebenarnya saling melengkapi. Sama seperti dalam hidup sebenar, prasangka boleh berubah bila kita berani untuk dengar – bukan dengan telinga saja, tapi dengan hati.