+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Belgrad Forest: Syurga Musim Luruh di Istanbul

Kalau ada satu tempat yang paling indah untuk menikmati musim luruh di Istanbul, tempat itu ialah Belgrad Forest. Terletak di utara bandar, hutan ini menjadi tempat kegemaran penduduk tempatan untuk bernafas udara segar dan menikmati keindahan alam.

Bila tiba Oktober hingga November, seluruh hutan bertukar warna — daun beech, oak dan chestnut berubah menjadi jingga keemasan, menutupi jalan seperti karpet semula jadi yang berkilau di bawah cahaya matahari pagi.

Dalam tulisan saya tentang Valens Aqueduct sebelum ini, saya ada menyebut bahawa air yang pernah mengalir ke kota lama Constantinople datangnya dari hutan ini. Ya, Belgrad Forest bukan sekadar tempat untuk bersiar-siar, tetapi juga sumber kehidupan purba yang telah membekalkan air kepada empayar selama berabad-abad.

Hari ini, hutan ini menjadi tempat riadah paling luas di Istanbul — lebih 5,000 hektar kawasan hijau yang dipenuhi tasik, denai dan empangan lama. Pintu masuk utamanya berada di Bahçeköy, dan sebaik melangkah masuk, kita akan disambut oleh udara yang sejuk, bunyi burung, dan daun-daun yang berguguran di setiap langkah.

Ramai orang datang ke Belgrad Forest pada hujung minggu untuk berjoging, berbasikal, atau sekadar berjalan santai di laluan Neşet Suyu, trek sejauh 6 kilometer yang mengelilingi tasik.

Ada juga keluarga yang membawa tikar dan bekalan makanan untuk berpiknik di tepi air, manakala pasangan muda pula duduk di bangku kayu menikmati teh panas sambil melihat pantulan warna daun di tasik. Kalau datang awal pagi, kita mungkin akan disambut dengan kabus tebal yang menyelimuti hutan.

Bagi yang minat fotografi, musim luruh di Belgrad Forest ialah syurga warna. Setiap sudut — dari jambatan kecil di atas tasik hingga ke lorong berdaun — boleh jadi latar gambar yang sempurna. Kadang-kadang kita akan nampak pelajar seni datang melukis, atau jurugambar perkahwinan merakam detik romantik di tengah dedaunan keemasan.

Selain aktiviti santai, hutan ini juga punya beberapa peninggalan bersejarah seperti empangan Bendler dan Topuzlu yang dibina pada zaman Uthmaniyyah. Walaupun sudah berusia ratusan tahun, strukturnya masih kukuh dan menambah nilai sejarah di tengah alam semula jadi.

Bila penat berjalan, singgahlah di salah satu kafe kecil dalam hutan. Hirup kopi panas sambil menikmati udara sejuk dan bau daun kering.

Untuk ke sini, boleh ambil bas dari Taksim ke arah Bahçeköy, dan dari hentian utama hanya beberapa minit berjalan kaki ke pintu masuk hutan. Kalau memandu, ada tempat parkir luas dan papan tanda jelas di sepanjang jalan.

Belgrad Forest ialah tempat terbaik untuk menikmati suasana Istanbul yang berbeza — jauh dari kesibukan kota, dekat dengan alam dan udara segar. Sama ada anda datang untuk beriadah, bersantai bersama keluarga, atau sekadar mahu melihat keindahan musim luruh, hutan ini pasti meninggalkan kenangan indah sebelum anda pulang ke pusat kota yang sibuk semula.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;
Komuniti Dönme di Istanbul

Komuniti Dönme di Istanbul

Selepas Sabbatai Sevi memeluk Islam pada tahun 1666, sebahagian pengikutnya memilih untuk terus setia kepada ajarannya. Mereka turut memeluk Islam secara luaran, namun masih mengamalkan kepercayaan Yahudi. Dari sinilah muncul…
Read more

Komuniti Dönme di Istanbul

Selepas Sabbatai Sevi memeluk Islam pada tahun 1666, sebahagian pengikutnya memilih untuk terus setia kepada ajarannya. Mereka turut memeluk Islam secara luaran, namun masih mengamalkan kepercayaan Yahudi. Dari sinilah muncul…
Read more

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED