
Apabila musim sejuk mula pergi, suasana di Istanbul juga perlahan-lahan berubah. Udara dingin diganti dengan hari yang lebih panjang dan nyaman, dan bandar ini kembali terasa hidup.
Pada waktu ini juga saya mula nampak lebih ramai pelancong dari Barat tiba. Tahun ini terasa sedikit berbeza, saya hampir tidak terserempak dengan pelancong dari Malaysia, mungkin dipengaruhi situasi perang di Timur Tengah. Namun begitu, kehidupan di sini tetap berjalan seperti biasa, dan musim bunga tulip juga sudah bermula.
Biasanya saya mula nampak tulip mekar di Sultanahmet dan Gülhane Park kerana kedua-duanya paling dekat dengan rumah saya. Kawasan ini selalunya mekar lebih awal berbanding tempat lain.
Beberapa hari kemudian, saya ke Emirgan Park. Saya mulakan dengan sarapan di Zeytin Garden Breakfast. Restoran ini menyediakan Turkish breakfast yang paling lengkap bagi saya. Dengan kawasannya yang luas, mudah untuk habiskan setengah hari di Emirgan Park. Tulip tersusun rapi di atas bukit dalam pelbagai corak dan warna. Jika cuaca baik, bawa bekal dan berkelah di sini memang menambah pengalaman unik.
Memasuki minggu berikutnya, saya akan ke bahagian Asia. Saya mulakan di Göztepe 60th Year Park yang terletak di Kadıköy, suasananya lebih santai dan terasa lokal. Keluarga berkumpul, kanak-kanak bermain, dan tulip menjadi sebahagian daripada kehidupan harian. Kemudian saya ke Hidiv Kasrı di Üsküdar. Dikelilingi kehijauan, tempat ini terasa lebih tenang dan jauh daripada kesibukan bandar.
Sepanjang musim bunga tulip, ada beberapa perkara yang saya perhatikan. Waktu terbaik datang adalah awal pagi atau lewat petang untuk elak kesesakan. Elakkan hujung minggu jika mahu suasana lebih tenang, terutamanya di Emirgan Park. Jangan pijak kawasan bunga walaupun nampak kosong, dan sentiasa bawa jaket ringan kerana cuaca boleh berubah dengan cepat. Jika merancang untuk berkelah, pastikan bawa alas dan sedikit makanan supaya lebih selesa.
Selepas dua minggu, saya sedar pengalaman ini bukan sekadar melihat tulip. Ia tentang bagaimana bandar ini berubah bersama musim. Dari jalan bersejarah di Sultanahmet hingga ke sudut tenang di Beykoz, setiap tempat memberi rasa yang berbeza. Tulipnya sama, tetapi Istanbul menjadikan setiap momen terasa unik bergantung pada di mana saya berada.