
Setiap kali saya memandu kereta atau menaiki bas dari Fatih ke Taksim, pasti saya akan lalu bawah satu binaan batu besar yang melengkung tinggi di atas jalan raya. Dari jauh nampak macam tembok kota lama, tapi bila bas lalu betul-betul bawahnya, kita akan rasa kecil, seolah-olah masa berhenti sekejap.
Orang Turki panggil tempat ni Bozdoğan Kemeri, tapi dalam sejarah, ia dikenali sebagai Valens Aqueduct, antara binaan tertua yang masih berdiri megah di Istanbul.
Lebih 1,600 tahun dulu, struktur ini bukan sekadar hiasan kota tapi nadi kehidupan bagi Constantinople, ibu kota Empayar Rom Timur. Ia siap dibina pada tahun 368 Masihi semasa pemerintahan Maharaja Valens. Waktu tu, Constantinople tengah membesar dengan pesat, dan seperti mana-mana kota besar, ia memerlukan bekalan air yang cukup untuk penduduk, istana, tempat mandi awam dan taman-taman.
Jurutera Rom bina rangkaian terowong dan saluran air sejauh lebih 250 kilometer dari kawasan mata air di utara kota. Valens Aqueduct ni jadi bahagian yang paling ikonik, jambatan besar yang menghubungkan dua bukit utama kota lama dan menyalurkan air terus ke tengah-tengah ibu kota.
Air yang mengalir dalam aqueduct ni asalnya datang dari dua sumber utama, Hutan Belgrad dan kawasan Kırkçeşme, lebih 60 KM dari Istanbul. Menariknya, jurutera Rom reka laluan air ni dengan begitu tepat. Air hanya turun beberapa sentimeter setiap kilometer, cukup untuk biar ia mengalir secara graviti semula jadi. Dengan ketinggian hampir 30 meter dan panjang hampir satu kilometer, ia dibina bukan sekadar untuk fungsi, tapi juga simbol kekuatan dan kehebatan Rom.
Berabad-abad lamanya, Valens Aqueduct jadi saksi bisu kepada jatuh bangun Constantinople. Bila maharaja silih berganti, bila wabak melanda dan musuh mengepung kota, air tetap mengalir di bawah lengkung-lengkung batu ni.
Air yang disalurkan disimpan dalam tangki bawah tanah seperti Basilica Cistern dan Binbirdirek Cistern (kedua-duanya ada di Sultanahmet), supaya kota boleh bertahan walaupun diserang. Bila gempa bumi merosakkannya, Maharaja Justinian I perbaiki semula, sebab mereka tahu, tanpa air, kota sebesar mana pun boleh mati.
Bila Empayar Uthmaniyyah menawan Constantinople pada tahun 1453, Sultan Mehmed II (Fatih Sultan Mehmet) terus nampak kepentingan struktur ni. Dia arahkan ia dibaik pulih semula untuk bekalkan air kepada Istana Topkapı, masjid-masjid besar dan kawasan baru yang sedang berkembang.
Hari ini, Valens Aqueduct berdiri megah di tengah-tengah kesibukan Istanbul. Ia mungkin tak lagi bawa air, tapi masih bawa cerita tentang maharaja dan sultan, tentang jurutera dan pekerja, tentang tamadun yang datang dan pergi tapi berkongsi satu sumber kehidupan yang sama.