
Rumah saya hanya tujuh hentian tram dari Sultanahmet. Setiap kali ada masa lapang, saya akan ke sana. Kadang-kadang saya lebih suka berjalan kaki kira-kira tiga puluh minit sahaja, bolehlah brisk-walk nak cukupkan kuota 8000 steps sehari.
Tiba di Sultanahmet, Masjid Biru sudah kelihatan, tenang tapi dipenuhi pelancong dari serata dunia. Enam menaranya menjulang ke langit, seolah-olah ingin menyaingi Hagia Sophia yang berdiri megah di seberang. Bila saya semakin dekat, bayu lembut dari Laut Marmara menyapa wajah saya, membawa bunyi burung dan gema langkah pelancong yang bersilih ganti.
Saya berjalan perlahan-lahan di halaman masjid, memerhati tiang-tiang marmar yang tegak di sekelilingnya. Tidak ramai tahu, sebahagian tiang ini bukan binaan baru. Ia diambil daripada runtuhan Byzantine dan Rom purba, termasuk dari Hippodrome of Constantinople iaitu dataran lumba kuda zaman Rom yang kini menjadi Dataran Sultanahmet.
Ada juga yang datang dari gereja dan istana lama sekitar kawasan ini. Setiap batu seolah-olah menyimpan suara sejarah, dari empayar lama yang kini bersatu di bawah kubah masjid ini.
Masjid ini dibina oleh Sultan Ahmed I (Sultan ke-7 Uthmaniyyah), ketika usianya baru 19 tahun. Pembinaannya bermula pada 1609, dan siap tujuh tahun kemudian. Tidak seperti sultan sebelumnya yang menggunakan harta rampasan perang, Sultan Ahmed membina masjid ini menggunakan dana kerajaan sendiri. Ramai yang mengkritik, tapi bagi baginda, ini adalah tanda syukur dan ibadah, bukan kemewahan.
Di satu sudut halaman, saya mendongak melihat ukiran dan bentuk lengkung yang sempurna. Semua ini hasil karya Sedefkâr Mehmed Ağa, murid kepada arkitek agung Mimar Sinan. Gelarannya, Sedefkâr, bermaksud ‘pengukir mutiara’, sesuai dengan hasil seninya yang halus dan seimbang. Mehmed Ağa percaya bahawa seni bina adalah cara untuk berzikir melalui keindahan, dan Masjid Biru adalah zikir yang dibina dengan batu dan cahaya.
Saya melangkah masuk ke ruang utama. Di sini, cahaya lembut menari-nari di dinding, datang daripada ratusan tingkap kaca berwarna. Kaca-kaca ini diimport dari Venice, pusat seni kaca paling terkenal pada zaman itu. Bila cahaya matahari menembusinya, warna biru, hijau, dan keemasan berpadu seperti lukisan hidup yang berubah mengikut waktu.
Namun yang paling menarik perhatian saya adalah enam menara yang menjadi tanda kebanggaan masjid ini. Dahulu, hanya Masjidil Haram di Mekah mempunyai enam menara, dan tindakan Sultan Ahmed menimbulkan kontroversi besar.
Ramai menganggap baginda terlalu berani, seolah-olah ingin menyamai kesucian Mekah. Tapi sejarah mencatat, Sultan Ahmed akhirnya memerintahkan pembinaan menara ketujuh di Masjidil Haram, supaya kemuliaannya kekal terpelihara. Satu keputusan yang membuktikan, di sebalik usianya yang muda, baginda tetap tahu menundukkan ego.
Bila mendongak ke kubah besar di atas, saya terpersona melihat lebih 20,000 jubin biru Iznik menghiasi dinding, setiap satunya dilukis dengan tangan – bunga, daun, dan corak geometri yang tak berulang. Di sinilah asal nama ‘Masjid Biru’. Bila cahaya jatuh pada jubin itu, seolah-olah langit sendiri sedang bersujud.
Saya duduk sebentar di hujung ruang solat, memerhati orang keluar masuk, ada yang berdoa, ada yang hanya termenung. Di tempat ini, sejarah, seni, dan spiritualiti bersatu dalam diam. Dan saya sedar keindahan sebenar bukan pada megahnya binaan, tetapi pada niat di sebalik setiap usaha manusia untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.