
Menjelang penghujung abad ke-19, hampir seratus ribu orang tinggal di sepanjang laluan Pera–Galata. Jalan-jalannya menjadi sempit dan sesak, dihimpit oleh bangunan kayu yang berdiri terlalu rapat antara satu sama lain, sentiasa terdedah kepada risiko kebakaran.
Penduduk Pera sudah mengenali Eropah. Mereka pernah melihat bandar seperti Paris, Vienna dan Milan, di mana sebuah bangunan tidak terhad kepada satu fungsi sahaja. Ia boleh menjadi tempat tinggal, tempat kerja dan ruang perniagaan dalam masa yang sama.
Pendekatan ini lebih praktikal dan sesuai dengan kehidupan bandar yang padat. Apa yang Pera perlukan bukan tanah tambahan, tetapi cara baru untuk memahami ruang. Dan bahasa baru itu diberi satu nama: apartmen.
Pada tahun 1901, sebuah bangunan muncul di sepanjang Jalan Istiklal yang mengubah arah masa depan kota ini iaitu Apartment Botter. Ia dibina oleh Jean Botter, tukang jahit istana pada zaman Sultan Abdul Hamid II, dan direka oleh arkitek Raimondo D’Aronco.
Kepentingannya bukan sekadar kerana ia apartmen moden pertama di Istanbul. Ia melambangkan titik peralihan. Tingkat bawah digunakan untuk perniagaan, manakala tingkat atas dijadikan kediaman. Besi, kaca dan batu digabungkan dalam satu reka bentuk yang kukuh dan elegan.
Struktur kejiranan juga berubah. Halaman dalamannya digantikan dengan kehidupan bertingkat. Pintu-pintu tersusun bersebelahan, dan tingkap saling berhadapan. Dalam satu bangunan, seorang usahawan, tukang jahit, pemuzik dan penterjemah berkongsi ruang yang sama, dihubungkan oleh tangga yang sama.
Kehidupan sosial turut berubah secara perlahan. Wanita semakin kelihatan, bukan sahaja di jalanan tetapi juga di tingkap dan balkoni. Muzik berpindah ke dalam bangunan, bergema di ruang dalaman. Malam hari yang dahulu berpusat di kedai kopi kini beralih ke dalam apartmen.
Dan dalam diam, Istanbul melangkah masuk ke dunia moden.
Pada tahun 2017, bangunan ini diambil alih oleh Majlis Perbandaran Istanbul (IBB) dan melalui proses pemulihan yang menyeluruh. Usaha ini bukan sekadar untuk memelihara warisan budaya kota, tetapi juga untuk mengangkat Istanbul sebagai pusat seni.
Setelah selesai baikpulih, Casa Botter memulakan kehidupan baharunya sebagai sebuah ruang seni kontemporari di bawah naungan IBB, menjadi simbol kesinambungan antara sejarah dan masa depan.