+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Anaximenes: Pemikir Terakhir Mazhab Miletus

Selepas Thales dan Anaximander, muncul seorang lagi pemikir dari kota Miletus yang melangkaui zamannya. Namanya Anaximenes. Beliau hidup sekitar tahun 586 hingga 526 SM.

Beliau merupakan tokoh terakhir daripada tiga ahli falsafah Mazhab Miletus (Milesian School), selepas Thales dan Anaximander. Para pengkaji Sejarah menggelarkan mereka sebagai ahli falsafah pertama dunia Barat.

Seperti permikir sebelumnya, Anaximenes memberi tumpuan kepada satu persoalan utama: apakah unsur asas alam semesta? Thales berpendapat air ialah asas kehidupan. Anaximander pula memperkenalkan konsep apeiron, iaitu sumber yang tidak terbatas dan tidak dapat ditentukan bentuknya. 

Anaximenes memilih jalan yang berbeza. Beliau menyatakan bahawa unsur asas segala benda ialah udara.

Bagi Anaximenes, udara bukan sekadar bahan yang tidak kelihatan yang kita sedut setiap hari. Udara ialah prinsip kehidupan. Beliau memerhatikan bahawa nafas sangat penting untuk manusia terus hidup. Tanpa udara untuk bernafas, kehidupan akan berakhir. 

Keistimewaan Anaximenes terletak pada cara beliau menerangkan perubahan alam semula jadi. Beliau mencadangkan bahawa pelbagai bentuk jirim terhasil melalui proses renggangan (rarefaction) dan pemeluwapan (condensation). 

Apabila udara mengembang dan menjadi lebih ringan, ia berubah menjadi api. Apabila udara meluwap dan menjadi lebih padat, ia bertukar menjadi angin, kemudian awan, air, tanah, dan akhirnya batu. Melalui pendekatan ini, beliau cuba menerangkan kepelbagaian alam melalui proses fizikal yang boleh diperhatikan.

Beliau memberikan contoh dengan cara manusia bernafas: Menghembus nafas dengan mulut terbuka luas akan menghasilkan udara panas. Manakala dengan mulut sedikit tertutup akan menghasilkan udara sejuk.

Walaupun sains moden tidak menerima udara sebagai unsur asas alam semesta, kaedah pemikiran Anaximenes menunjukkan satu perkembangan penting. Hari ini kita memahami bahawa perubahan jirim memang berlaku melalui perbezaan tekanan dan suhu. 

Gas boleh menjadi cecair, dan cecair boleh menjadi pepejal. Walaupun beliau belum mengenali atom atau struktur molekul, usahanya untuk mengaitkan perubahan fizikal dengan proses yang dapat diperhatikan mencerminkan kematangan pemikiran saintifik.

Melalui Anaximenes, tradisi Mazhab Miletus mencapai satu tahap baharu. Thales memulakan dengan unsur yang nyata. Anaximander bergerak ke arah konsep yang lebih abstrak. Anaximenes kembali kepada unsur yang boleh dilihat, namun menerangkannya melalui prinsip fizikal yang dinamik. Bersama-sama, tiga pemikir dari satu kota di Anatolia ini telah meletakkan asas kepada pemikiran rasional tentang alam semesta.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED