
Selain mahya yang indah tergantung di antara dua menara masjid, Ramadan di Turkiye juga disinari dengan cara yang lebih dekat. Di Fatih, pihak perbandaran setiap tahun menghiasi laluan utama dengan lampu hiasan, mengubah jalan biasa menjadi aliran cahaya yang indah.
Setiap malam saya akan berjalan di Fevzipaşa Caddesi menuju ke Masjid Fatih untuk menunaikan solat tarawih. Suasana masih sunyi dan tenang selepas iftar. Kedai-kedai separuh terbuka, bunyi gelas teh berlaga di atas dulang besi, dan keluarga berjalan dalam kelompok kecil, semuanya bergerak ke arah yang sama.
Di atas kepala saya, rentetan lampu merentang dari satu sisi jalan ke sisi yang lain. Bentuk bulan sabit dan bintang bersinar dengan warna keemasan, tergantung di antara tiang lampu menandakan keistimewaan bulan ini.
Usaha pihak perbandaran Fatih ini bukan sekadar untuk mencantikkan kawasan. Ia menghidupkan rasa kebersamaan. Daerah yang kaya dengan sejarah ini menyambut Ramadan dengan penuh tadisi. Dari laluan utama hingga ke dataran kecil, pencahayaan ini mewujudkan kesinambungan antara kawasan kejiranan dengan laluan ke masjid.
Tradisi menerangi ruang awam ketika Ramadan sebenarnya berakar sejak zaman Uthmaniyah. Pada era tersebut, pelita minyak dan lampu gantung dipasang di sekitar masjid, pasar dan jalan utama supaya orang ramai dapat bergerak dengan selamat pada waktu malam untuk tarawih dan sahur.
Dari situlah lahir budaya mahya dan pencahayaan bermusim yang bukan sekadar untuk keindahan, tetapi sebagai simbol kegembiraan menyambut bulan suci. Cahaya menjadi lambang bahawa kota ini hidup dengan ibadah, dan Ramadan diraikan secara terbuka oleh seluruh masyarakat.
Saya merasakan jalan itu sendiri menjadi sebahagian daripada pengalaman ibadah. Perjalanan menuju tarawih bukan sekadar langkah fizikal. Ia menjadi satu proses persediaan jiwa. Laluan yang bercahaya itu menenangkan hati kita sebelum ibadah bermula.