
Türkiye antara sebuah negara yang hampir tidak pernah mengalami kes tembakan di sekolah sebelum ini. Namun dalam tempoh hanya dua hari, dua serangan berasingan berlaku di bandar yang berbeza.
Di daerah Siverek, Şanlıurfa, serangan pertama dilakukan oleh bekas pelajar berusia 18 tahun. Dengan menggunakan senapang patah, dia melepaskan tembakan di dalam sebuah sekolah menengah vokasional dan mencederakan 16 orang, termasuk pelajar, guru, seorang pekerja sekolah dan seorang anggota polis.
Selepas kejadian, penyerang itu menamatkan hidupnya sendiri. Pihak berkuasa kemudian mengesahkan bahawa suspek pernah memberi bayangan tentang serangan tersebut di media sosial sebelum kejadian berlaku. Walaupun tiada kematian dilaporkan, beberapa mangsa berada dalam keadaan serius dan masih menerima rawatan di hospital.
Kurang daripada 24 jam kemudian, satu lagi serangan yang lebih tragis berlaku di Kahramanmaraş. Kali ini, pelaku merupakan pelajar sekolah menengah berusia 14 tahun yang menggunakan senjata milik bapanya, yang merupakan seorang bekas polis. Dia memasuki sekolah dengan beberapa senjata api dan mula menembak pelajar serta guru.
Serangan ini mengorbankan sembilan nyawa, termasuk lapan pelajar dan seorang guru, manakala sekurang-kurangnya 13 orang lagi cedera, sebahagiannya parah. Guru yang terkorban dilaporkan cuba melindungi pelajar semasa serangan berlaku. Penyerang itu juga ditemui maut di lokasi kejadian, menjadikan ini sebagai kes tembakan sekolah paling tragis dalam sejarah moden Türkiye.
Setakat ini, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti motif sebenar kedua-dua serangan ini. Kenyataan awal menunjukkan bahawa serangan di Kahramanmaraş merupakan tindakan individu dan tidak berkaitan dengan keganasan terancang.
Namun begitu, perbincangan mula timbul mengenai kemungkinan adanya unsur ‘copycat crime’. Laporan menyatakan bahawa remaja di Kahramanmaraş itu meletakkan gambar Elliot Rodger dari Amerika Syarikat dalam profil WhatsApp miliknya. Elliot Rodger merupakan pelaku di sebalik ‘Isla Vista killings’ yang meragut enam nyawa dan mencederakan 14 yang lain. Dia juga ditemui maut di tempat kejadian.
Beberapa persatuan guru-guru melancarkan mogok dan menggesa penutupan sementara sekolah sehingga tahap keselamatan benar-benar terjamin. Mereka menyatakan bahawa guru dan pelajar masih berada dalam keadaan trauma dan sukar untuk meneruskan sesi pembelajaran seperti biasa. Dalam masa yang sama, ramai ibu bapa mula berasa ragu untuk menghantar anak mereka ke sekolah, menunjukkan keyakinan terhadap keselamatan sekolah semakin terjejas.
Minggu ini menjadi titik perubahan yang besar bagi Türkiye. Sama ada insiden ini akan kekal sebagai kes terpencil atau menjadi petanda kepada masalah yang lebih besar, semuanya bergantung kepada tindakan yang diambil selepas ini. Buat masa ini, negara ini masih dalam suasana berkabung sambil mencari jawapan terhadap tragedi yang mengubah persepsi keselamatan di sekolah.