+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Kisah Takungan Air Byzantine di Istanbul

Sebelum ini saya ada menulis tentang Valens Aqueduct yang menyalurkan air dari luar kota, dan juga Basilica Cistern yang menyimpan air di bawah tanah. Kali ini, kita sambung satu lagi lapisan penting dalam sistem air Constantinople yang sering terlepas pandang. 

Selain saluran air dan cistern, kota ini juga bergantung kepada takungan air terbuka yang dibina di dalam tembok kota sendiri, terutama sejak abad ke-5 Masihi. Berbeza dengan cistern yang tersembunyi di bawah tanah, takungan terbuka ini dibina sebagai ruang terbuka yang dikelilingi dinding tinggi. 

Ia menerima air daripada aqueduct dan juga hujan, serta diletakkan di kawasan tinggi supaya air mudah diagihkan. Takungan ini menjadi simpanan penting ketika musim kering dan semasa bandar dikepung, apabila bekalan dari luar kota terputus.

Salah satu contoh paling jelas ialah Takungan Aetius berhampiran Edirnekapı. Ia dibina pada tahun 421 M semasa pemerintahan Maharaja Theodosius II, pada waktu Constantinople sedang berkembang ke arah barat dan Tembok Theodosian dibina. 

Takungan ini menyokong kawasan baharu di dalam tembok dan kawasan ketenteraan berhampiran. Apabila sistem air berubah pada abad-abad seterusnya, fungsi asalnya berkurang. Hari ini, kawasan ini digunakan sebagai stadium, namun bentuk dan saiz ruangnya masih mengikut pelan takungan asal.

Di kawasan berhampiran Masjid Yavuz Sultan Selim pula, terdapat tapak takungan yang kini dikenali sebagai Çukurbostan. Tapak ini biasanya dikaitkan dengan Takungan Aspar yang dibina sekitar tahun 459 M semasa pemerintahan Maharaja Leo I. Pada zaman Byzantine, ia berfungsi sebagai simpanan air kecemasan. Pada zaman Uthmaniyyah, kawasan ini dijadikan tanah pertanian, dan bentuk landskapnya hingga kini masih menunjukkan kesan struktur lama.

Lebih ke tengah kota moden, di kawasan Laleli hari ini, pernah berdiri Takungan Hagios Mokios. Ia dibina pada awal abad ke-5 dan dinamakan sempena Gereja Saint Mokios. Takungan ini antara yang terbesar di Constantinople dan terletak di kawasan tinggi untuk membekalkan air ke pusat bandar. Akibat pembangunan pesat, takungan ini hampir hilang sepenuhnya, dan jejaknya hanya boleh dikesan melalui peta lama serta perubahan aras jalan.

Daripada takungan yang berubah menjadi stadium dan kebun, hingga yang tertanam di bawah bangunan moden, semua ini menunjukkan bagaimana air membentuk wajah Constantinople. Walaupun airnya sudah lama hilang, ruang dan struktur kota hari ini masih mengikuti jejak sistem yang dibina beribu tahun lalu.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED