
Ketika berjalan-jalan di sekitar Taksim Square, saya melihat bumbung gereja dari jauh sambil terfikir tentang sejarah panjang kota ini. Türkiye, sebelum menjadi tanah majoriti Muslim, sebenarnya adalah tanah orang Kristian selama berabad-abad. Dari zaman Rom hingga Empayar Byzantine, Kristian menjadi agama utama, dan banyak bandar-bandar serta wilayah berkembang dengan budaya dan tradisi Kristian, paling terkenal ialah Hagia Sophia.
Ia membuatkan saya terfikir tentang satu soalan yang timbul: mengapa begitu sedikit orang Kristian yang tinggal di Türkiye hari ini?
Sejarah Türkiye moden banyak dipengaruhi oleh peristiwa besar yang mengubah demografi negara ini. Salah satunya adalah pertukaran penduduk antara Türkiye dan Greece pada awal abad ke-20. Dalam pertukaran ini, ramai orang Kristian berpindah ke Greece, sementara umat Islam dari Greece datang ke Türkiye. Langkah ini secara dramatik mengurangkan bilangan Kristian di tanah Türkiye.
Selain itu, terdapat juga pemindahan paksa orang-orang Armenia, yang sebahagian besarnya dihantar ke kawasan yang kini menjadi Syria. Kejadian ini mengakibatkan banyak keluarga Armenia meninggalkan Turkiye dan mengubah landskap keagamaan di negara ini. Pada awal abad ke-20, orang Kristian membentuk hampir 10% daripada populasi Turkiye, tetapi angka itu kini sangat kecil.
Kenalan saya, yang ahli keluarganya sendiri ada campuran agama yang berbeza, memberi perspektif yang menarik:
“Saya orang Turki, Muslim dan juga merupakan keturunan dari mereka yang terselamat daripada kekejaman Perang Balkan pertama. Tiga daripada moyang saya dilahirkan di Greece sekarang. Di sisi lain, isteri saya ialah seorang Armenia Ortodoks yang dilahirkan dan dibesarkan di Istanbul. Anak perempuan kami juga seorang Kristian Ortodoks.”
Kisah keluarga ini mencerminkan realiti sejarah: orang Kristian pernah menjadi sebahagian penting daripada masyarakat, tetapi konflik, perang, dan pertukaran penduduk mengubah struktur demografi secara drastik. Hari ini, Turkiye adalah negara majoriti Muslim, tetapi sejarahnya menunjukkan bahawa ia pernah menjadi rumah bagi pelbagai kepercayaan dan budaya.